KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi akan melancarkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECER) sempena lawatan sehari ke Terengganu, Sabtu ini.
Sekretariat ECER dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata anggota-anggota
majlis pembangunan itu terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi, serta
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri besar Kelantan,
Terengganu, Pahang dan Johor.
Pada pelancaran majlis di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, sebuah pusat
sehenti akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan dan projek-projek
pembangunan yang dikenal pasti dalam pelan induk ECER berjalan lancar.
Selain itu, Perdana Menteri akan turut melantik dua menteri sebagai wakil
perkhidmatan awam serta dua anggota daripada sektor swasta sebagai anggota
majlis pembangunan berkenaan.
Menurut kenyataan itu juga, beberapa insentif menarik akan diperkenalkan bagi
meningkatkan penglibatan para pelabur tempatan dan asing dalam projek
pembangunan berkenaan sempena pelancaran majlis pembangunan itu.
Insentif-insentif itu dijangka bergantung kepada lokasi, dengan tumpuan diberikan
kepada pembangunan kelompok industri tersendiri di dalam ECER, untuk
meningkatkan produktiviti dan membantu syarikat bersaing pada peringkat tempatan
dan juga antarabangsa.
Setiap kelompok industri iaitu pelancongan, pertanian, pembuatan, minyak dan gas
serta pendidikan akan mempunyai insentif masing-masing yang direka khas untuk
memenuhi keperluan ECER itu.
Majlis Pembangunan ECER akan memikul tanggungjawab meransang, mempromosi
dan mempercepatkan pertumbuhan ECER dalam keadaan yang seimbang dan
mampan. Ia juga akan membangunkan wilayah tersebut menjadi sebuah rantau
ekonomi bertaraf dunia dan destinasi pilihan untuk pelaburan, pekerjaan dan tempat
tinggal.
ECER yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas, merupakan salah satu daripada
lima koridor ekonomi yang diperkenalkan kerajaan pusat bagi menghapuskan
kemiskinan dan meningkatkan aktiviti ekonomi di dalam ECER bagi membantu
mengimbangi pembangunan di antara wilayah-wilayah dalam negara.Pelan pembangunan ekonomi itu yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan
daerah Mersing di Johor akan menumpukan kepada sektor-sektor khas iaitu
pelancongan, minyak, gas dan petrokimia serta pembuatan, pertanian dan
pendidikan.
— BERNAMA