11/5/2012 — Utusan Malaysia
JELI 4 Nov. – Program Empower Jeli anjuran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilaksanakan di daerah ini bermula tahun lalu berjaya meningkatkan taraf kehidupan rakyat di sini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, para peserta yang menyertai program itu rata-ratanya kini berjaya membuka perniagaan sendiri dan memperoleh pendapatan lumayan.
Beliau berkata, kejayaan itu sangat membanggakan dan pastinya menjadi pencetus semangat kepada peserta lain selepas ini untuk mengikuti program berkenaan.
“Saya difahamkan setakat bulan September tahun ini, seramai 120 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang menyertai program tersebut telah membuka perniagaan sendiri dan menerima pendapatan tambahan sehingga RM1,500 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan majlis Konvokesyen Graduan Empower Jeli di Dewan Majlis Daerah Jeli, di sini semalam.
Sebanyak 300 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Jeli berjaya menamatkan kursus mereka dan menerima sijil masing-masing dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berharap ECER akan meneruskan program Empower Jeli itu pada masa hadapan.
Katanya, program itu jelas berjaya menarik lebih ramai penduduk di daerah ini yang berpotensi menjadi usahawan menyertainya.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak ECER di atas usaha murninya meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup warga Jeli khususnya dan negeri Kelantan secara amnya,” katanya.
Tambah Mustapa, kejayaan program seperti Empower Jeli itu sebenarnya turut terletak di tangan rakyat Kelantan sendiri dan beliau yakin penduduk negeri ini mampu memberikan sumbangan penting terhadap pembangunan dan ekonomi negara dengan ilmu yang diperoleh daripada program berkenaan.
Sementara itu, seorang peserta, Nurul Huda Kamaruddin, 23, berkata, pengalaman selama lapan bulan menyertai program tersebut membantunya meningkatkan kemahiran dalam bidang jahitan.
Katanya, dia mula mengambil tempahan membuat baju di rumahnya dan memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM1,000.
“Program ini banyak membantu saya, daripada tidak mempunyai kemahiran saya kini sudah pandai dan mampu memperoleh pendapatan hasil daripada upah menjahit,” katanya.