11/3/2012 — Utusan Malaysia
BACHOK 2 Nov. – Rakyat di kawasan Parlimen Bachok perlu merebut peluang menerusi Program Empower di bawah kelolaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Muhammad Zaidi Sidek berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi menjayakan program tersebut melibatkan kemahiran dan pembangunan modal insan di daerah ini.
Menurutnya, usaha itu akan memastikan Bachok tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan.
“Bagi saya ini adalah satu perkara yang baik dan wajar diberikan kerjasama oleh semua kerana bakal memberikan banyak manfaat.
“Program ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh pemimpin kita, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (Ketua UMNO bahagian) bagi memastikan Bachok turut menerima pembangunan seperti kawasan-kawasan Parlimen yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup ‘Quest For Excellent’ dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok dekat sini semalam.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cermin mata kepada 32 murid SK Perupok dan SK Beris Kubor Besar.
Program anjuran ECERDC itu bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan dan mewujudkan pembelajaran menarik terhadap Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah.
Seramai 100 murid tahun lima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok telah menyertai program tersebut.
Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Faiz Bustamin, 12, dari SK Perupok berkata, program tersebut banyak membantunya meningkatkan tahap penguasaan bahasa berkenaan.
“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang mengikuti program ini terutama dari aspek penulisan, pertuturan serta tatabahasa.
“Selain itu, kaedah pembelajaran menarik yang didedahkan kepada para peserta menjadikan kami lebih mudah memahami bahasa ini,” ujarnya.