Pusat pengumpulan kenaf pertama ECER

BACHOK 2 Mei – Sejajar dengan rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
untuk menggalakkan penanaman kenaf, pusat pengumpulan kenaf pertama di
negara ini akan dibuka di sini bulan ini bagi menguruskan pemprosesan dan
pemasarannya.
Pusat Pengumpulan, (CPMC) Pemprosesan dan Pemasaran seluas 0.5 hektar di
Beris Lalang itu akan dikendalikan oleh Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB),
dengan kerjasama Lembaga Tembakau Negara (LTN).
Pengarah Urusan SASB, Iman Shah Ismail berkata, syarikat itu telah melabur
hingga RM1 juta untuk mendirikan pusat itu dan merancang untuk membuka lebih
banyak CPMC.
“Kami tidak merancang membina sebuah CPMC besar, sebaliknya banyak pusat
yang bersaiz optimum berhampiran dengan ladang kenaf. Kami telah mengenal
pasti tapak-tapak di Kelantan dan Terengganu.
“Pusat-pusat itu akan dibuka selaras dengan jadual penanaman kenaf ECER dan
LTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Serbuk kenaf digunakan dalam bahan komposit manakala pokok kenaf
diperkenalkan sebagai tanaman ladang di bawah ECER disebabkan oleh potensi
besar pokok yang kaya dengan serabut itu. Pokok ini boleh diproses menjadi kertas,
pakaian, bahan binaan, aksesori kereta dan bahan bakar bio.
Pengeluaran SASB sekarang berjumlah 1,000 tan metrik sebulan. Ini diunjurkan
meningkat kepada 3,000 tan metrik menjelang September tahun ini dan 10,000 tan
metrik menjelang 2009.
Syarikat itu mula mengeksport serbuk kenaf pada Februari ke negara-negara
perindustrian, iaitu Jepun dan Korea.
“SASB meramalkan permintaan yang sangat besar bagi kenaf di seluruh dunia
terutama dalam penggunaan bagi bahan komposit. Ini adalah kerana kenaf
merupakan pokok dan bahan organik perindustrian mesra alam yang diiktiraf oleh
Protokol Kyoto sebagai berupaya mengurangkan pemanasan global. “Syarikat boleh menikmati insentif cukai khas apabila ia dieksport ke Kesatuan
Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Iman Shah.
MeningkatDi samping itu, katanya, disebabkan kenaikan harga minyak mentah dan
berikutan itu kenaikan harga polipropilena dan poliethilena, permintaan bagi kenaf,
yang merupakan bahan gantian, akan meningkat.
SASB adalah sebahagian daripada Kumpulan Syarikat Kumpulan AqilQisti, yang
mempunyai operasi dalam industri media, teknologi, pertanian dan akuakultur.
Di bawah ECER, kawasan sasaran bagi penanaman kenaf adalah kira-kira 10,000
hektar.
Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 penanam tembakau dan mewujudkan
lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam pasaran dunia, kenaf mencapai harga RM700 hingga RM1,200 setan metrik.
China, Bangladesh, Thailand dan Myanmar menyumbang 95 peratus daripada
keseluruhan pengeluaran kenaf dunia.