9/27/2008 — Harian Metro
SEORANG usahawan muda Bumiputera mendapat ilham memasarkan hasil seninya
ke luar negara susulan permintaan kukuh untuk rebana sejenis gendang tradisional.
Hapizi Husin, 26, mempunyai bengkel di Kampung Gong Ubi Keing, Besut, yang
menghasilkan rebana untuk pertunjukan dikir barat, marhaban dan perkahwinan,
juga membuat rebana sebagai cenderahati untuk pelancong asing serta bagi acara
korporat.
Memandangkan alat muzik itu mendapat permintaan tinggi sebagai cenderahati
untuk pelancong serta pertunjukan muzikal, terutama pertunjukan tradisional,
rancangan sudah diatur bagi membawa rebana ke satu peringkat baru menerusi
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang menjadikan industri kraftangan seperti
batik dan rebana sebagai sektor pembuatan dan pelancongan.
Hapizi yang mendapat tunjuk ajar bapanya kini menjadikan pembuatan rebana
sebagai sumber rezeki menanggung keluarga dan berhasrat meneroka pasaran
rebana antarabangsa.
“Kebiasaannya apabila produk siap, kami menghantarnya ke Majlis Daerah Besut
untuk dipasarkan. Kami juga mengambil bahagian dalam pelbagai pameran dan
karnival bagi mempromosikan rebana,” katanya dalam kenyataan ECER yang
dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.
Pembuatan rebana termasuk dalam kelompok berasaskan kayu ECER, dengan
aktiviti huluan boleh didapati di kawasan pedalaman seperti Kelantan atau
Terengganu.
Eksport kelompok berasas kayu Malaysia dijual ke lebih 100 negara dengan nilai
melebihi RM15 billion.
Mengikut pelan induk ECER, satu cara bagi rebana sampai ke pasaran
antarabangsa ialah menerusi muzium kraf.