Semua Negeri Dapat Manfaat Projek Koridor

4/2/2009 — Berita Harian
USAHA yang dilaksanakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam membangunkan pembangunan ekonomi secara bersepadu berdasarkan Wilayah memberi satu sinar baru kepada seluruh rakyat Malaysia terutama dalam usaha membasmi kemiskinan.
Ini kerana menerusi program ini banyak projek dirancang secara menyeluruh tanpa meminggirkan satu negeri pun di Malaysia.
Istimewanya setiap negeri mempunyai projek dan program untuk dibangunkan dan usaha ini bukan saja dapat membangunkan seluruh negeri di Malaysia malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Untuk melaksanakan program ini, kerajaan menubuhkan pihak berkuasa pembangunan koridor bagi meneraju, menyelaras dan memantau pelaksanaan program dan projek yang dikenal pasti dalam setiap pelan induk koridor pertumbuhan.
Antara program yang dilancarkan Abdullah adalah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Koridor membabitkan Terengganu, Kelantan, Pahang dan sebahagian Johor.
Ia adalah program koridor ketiga dilancarkan selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) meliputi Johor selatan, dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak.
Bagi negeri Pahang, Abdullah memilih untuk menjadikan negeri itu sebagai hab industri pembuatan dan logistik bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Pahang juga akan menjadi pusat bagi kegiatan pembuatan bernilai tinggi, di samping menjadi laluan utama bagi hasil pembuatan untuk menembusi pasaran global.
Satu daripada program utama dalam pembentukan hab itu ialah rancangan membangunkan Kuantan sebagai bandar pelabuhan bersepadu yang akan dikenali sebagai Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC).
Langkah itu bertepatan dengan peranan pelabuhan Kuantan sebagai gerbang utama bagi perdagangan dan industri untuk pantai timur.
Satu daripada industri yang akan diberi penekanan dalam usaha membangunkan KPC adalah sektor automotif apabila bandar itu akan dijadikan pintu masuk nasional bagi kegiatan import dan pengedaran kenderaan.
Di samping itu, pembabitan dalam pembuatan kenderaan dan komponen automotif akan diperkasa dan usaha akan dilakukan bagi menggalak syarikat pembekal komponen bertaraf antarabangsa melabur di pusat perindustrian antomotif di Peramu, Pekan.
Bagi memacu pertumbuhan KPC sebagai hab pembuatan dan logistik utama, pelbagai prasarana akan dibangunkan, termasuk penambahbaikan kemudahan pelabuhan serta peluasan kawasan perindustrian sedia ada.
Kelompok perindustrian minyak sawit, kawasan bebas cukai, perbandaran baru dan pusat logistik akan dibangunkan di KPC.
Industri makanan halal akan turut diberi perhatian apabila taman industri halal akan dibangunkan di Gambang.
Pembinaan Taman Halal Gambang akan memastikan pengiktirafan amalan dan produk halal pada peringkat antarabangsa serta memartabatkan produk halal buatan Malaysia sebagai produk pilihan global.
Taman itu akan dijadikan hab penting bagi pembuatan, pemprosesan, pensijilan dan akreditasi bagi makanan halal dan bukan makanan ini turut mengambil peluang pengembangan pasaran halal global, khususnya di Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat.
Projek lain yang diperkenalkan adalah program pembangunan Kelompok Industri Minyak Sawit, penternakan lembu bersepadu, penternakan ikan air tawar dan air payau, perladangan kontrak, agropolitan serta pelancongan daerah Mersing.
Turut dibangunkan menerusi ECER adalah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang yang mempunyai keluasan 3,600 hektar, adalah antara tiga TKPM di bawah program ECER dan ketika ini, terdapat 45 TKPM di seluruh negara.
Bagi perkembangan pembangunan di ECER, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion untuk melaksanakan 107 projek mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Daripada 107 projek yang dirancang dalam ECER, 48 sudah dilaksanakan sejak tahun lalu, 29 lagi akan dilaksanakan pertengahan tahun ini, 22 dimulakan hujung tahun ini dan lapan akan siapkan pada 2010.
INFO
•    Koridor lskandar Malaysia (2006-2025)
•    Wilayah Ekonomi Koridor Utara (2007-2025)
•    Wilayah Ekonomi Pantai Timur (2007-2025)
•    Koridor Pembangunan Sabah (2008-2025)
•    Koridor Tenaga Diperbaharu Sarawak (2008-2030)
•    Menubuhkan Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri antara Malaysia dan Singapura bagi meningkat hubungan dua hala di Koridor Iskandar Malaysia.
•    Melonjakkan pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek agropolitan.
•    Lima projek agropolitan yang muIa dilaksanakan adalah Pulau Banggi, Sabah; RKT KESEDAR Gua Musang, Kelantan; Setiu, Terengganu; Pekan dan Gahai di Pahang.
•    Projek agropolitan dijangka membebaskan sejumlah 10,000 keluarga miskin tegar di seluruh negara pada 2010.
•    Prasarana asas menjelang 2016 bertujuan untuk agihan pembangunan fizikal yang adil dan saksama. Sehingga 2007 liputan bekalan elektrik ditingkatkan kepada 98.6 peratus di Semenanjung, 76.3 peratus di Sabah dan 84.1 peratus di Sarawak.
•    Liputan air luar bandar ditingkatkan kepada 97 peratus di Semenanjung, 63 peratus di Sabah dan 62 peratus di Sarawak.
•    Mengurangkan jurang digital melalui program celik IT mulai 2006. Sehingga 2008 enam program dijalankan meliputi kawasan di Johor, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
•    Peruntukan RM580 juta mulal 2009 untuk mempertingkatkan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak.
•    Semua negeri dapat manfaat projek koridor Program pembangunan bersepadu jana ekonomi luar bandar