4/2/2009 — Berita Harian
Kehadiran pembangunan Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ternyata memberi impak besar kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dalam usaha memacu kepesatan pembangunan negeri termasuk menangani ketidakseimbangan ekonomi di kalangan penduduk.
PKNP yang ditubuhkan pada 27 Disember 1965 bertanggungjawab meningkat, mendorong, memberi kemudahan serta menjalankan usaha pembangunan ekonomi dan sosial negeri terutama di kawasan luar bandar.
Peranan dan aktiviti utama PKNP tertumpu kepada sektor seperti pembangunan industri, hartanah, pusat pertumbuhan baru dan bandar baru, pelaburan serta pembangunan usahawan Bumiputera
Pembabitan PKNP dalam sektor ekonomi adalah menerusi anak syarikatnya dengan secara keseluruhan PKNP mempunyai 15 syarikat yang bernaung di bawah perbadanan. Daripada jumlah itu, lapan adalah anak syarikat, tiga syarikat bersekutu dan empat pelaburan ekuiti.
Antara anak syarikat PKNP adalah Pasdec Holdings Berhad, Pascorp Paper Industries Berhad, Astana Golf Resort Sdn Bhd dan Rumpun Timur Sdn Bhd.
“PKNP sentiasa mencari projek baru yang boleh diceburi termasuk di sektor pertanian, bioteknologi, farmasi, agro pertanian dan pengurusan pertanian tinggi termasuk untuk kepentingan anak syarikatnya,” kata jurucakap Kumpulan Pasdec Holdings Bhd (Pasdec).
Katanya, Pasdec melalui anak syarikatnya, Pasdec Putra Sdn Bhd (PPSB) sedang rancak membangunkan projek perumahan yang begitu sofistikated dan berprestij serta dilihat bakal menjadi mercu tanda bandar Kuantan apabila siap sepenuhnya.
Projek perumahan dikenali Bandar Putra bernilai RM950 juta itu dibangunkan pada 2006 di kawasan seluas 166.8 hektar di Tanjung Lumpur, kira-kira lima kilometer dari bandar Kuantan.
Pada tahun lalu, PPSB melancarkan projek fasa pertama membabitkan 441 unit iaitu 209 unit rumah kos sederhana dua tingkat, 150 unit rumah kos sederhana teres satu tingkat, satu setengah tingkat dan dua tingkat dan 82 unit rumah teres berkembar kos sederhana.
Sempena pameran hartanah perumahan (Mapex) baru-baru ini, PPSB menawarkan harga istimewa dengan potongan harga antara RM3,888 dan RM5,888 untuk rumah teres dan RM7,888 untuk rumah teres berkembar.
Tawaran bermula 9 April hingga 30 April ini dan orang ramai berpeluang mendapatkan rumah idaman mereka dengan harga yang cukup istimewa sempena pameran berkenaan.
“Paling penting, kehidupan penduduk di situ lebih berkualiti, damai dan selamat kerana dilengkapi kemudahan komuniti serta infrastruktur canggih,” katanya.
Selain lokasi berhampiran pusat bandar Kuantan, Bandar Putra dijangka menjadi pilihan ramai kerana mempunyai status hak milik bebas.
Beliau berkata, PPSB juga dijangka melancarkan Pusat Perniagaan Putra (PBC) merangkumi 132 unit kedai dan lot pejabat.
Orang ramai dijemput hadir ke pejabat jualan di Tanjung Lumpur atau di tingkat dua, Kompleks Teruntum atau hubungi 09-5135188 untuk maklumat lanjut.