Firma Jerman rancang labur RM3b di Terengganu

3/27/2009 — Berita Harian
Sebuah firma yang bergiat dalam industri berat dari Jerman bakal melabur RM3 bilion di Terengganu, sekali gus membuktikan Malaysia masih menjadi destinasi pilihan pelabur asing di sebalik ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata pelaburan itu dijangka diterima menjelang pertengahan tahun ini selepas firma dari Jerman itu memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan negeri itu untuk membina kilangnya di kawasan perindustrian Telok Kalong, Kemaman.
“Kami (kerajaan negeri) kini dalam peringkat akhir rundingan dengan firma itu. Dijangkakan semuanya akan dimuktamadkan pada pertengahan tahun ini,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
Ahmad menegaskan, cadangan pelaburan itu hasil usaha kerajaan negeri yang sentiasa agresif mengadakan promosi di luar negara untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta mengetengahkan Terengganu sebagai hab bagi firma asing mengembangkan operasi di Asia.
“Kami jangkakan dengan nilai pelaburan sebesar ini, ia akan terus memberi manfaat yang berpanjangan, khususnya kepada penduduk Terengganu dan Malaysia, amnya kerana ia akan menye-diakan peluang pekerjaan yang banyak,” katanya.
Terengganu, akhir tahun lalu telah menerima kemasukan FDI bernilai RM145 juta di Kelompok Industri Plastik Kertih (KKP), iaitu kawasan perindustrian plastik bersepadu pertama di Malaysia.
KKP yang terletak di dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dibangunkan bagi menggalakkan pelaburan hiliran dalam industri plastik dan yang berkaitan dengannya dengan memanfaatkan sinergi kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC).
Disasarkan menjelang 2015, sebanyak 140 hektar lot perindustrian di KPP akan dipenuhi, menarik pelaburan bernilai RM2 bilion dan mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.
Ahmad berkata, kawasan perindustrian Telok Kalong pula adalah salah satu kawasan perindustrian utama negeri itu yang dibangunkan bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur asing.
Katanya, selain memiliki kelebihan dari segi persekitaran yang memudahkan logistik, kawasan itu turut memiliki kelebihan daripada segi insentif yang ditawarkan.
“Bagi menarik lebih banyak pelabur asing di Telok Kalong, kami (kerajaan negeri) menawarkan pelbagai insentif yang mana antara lain termasuk kos bahan mentah dan binaan yang murah serta potongan 50 peratus untuk cukai pendapatan tahunan syarikat yang menggaji lebih 200 orang pekerja,” katanya.
Kawasan Perindustrian itu adalah zon yang dibangunkan Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu (PMIT) bagi menyokong industri petroleum di negeri itu.
Kebanyakan industri dan perkhidmatan yang dibina adalah berkaitan dengan petroleum dan gas.