Kebimbangan peserta Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Rantau Manis di sini, berakhir apabila gaji pokok mereka dikekalkan seperti kadar asal. Terdahulu, lebih 250 peserta menggesa pihak pengurusan mengkaji semula potongan kadar penyelenggaraan (upah) yang berkuatkuasa bermula Januari ini.
Sebelum ini, mereka dibayar RM160 perhektar bagi kerja-kerja penyelenggaraan ladang, namun bermula bulan ini, kadar itu dikurangkan kepada RM110 setiap hektar. Setiap peserta menguruskan tiga hingga lima hektar ladang dengan purata pendapatan hanya sekitar RM960 sebulan.
Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pertemuan rasmi beliau dan Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusoff bersama pihak pengurusan akhirnya mencapai kata sepakat bahawa tiada perubahan pada gaji pokok. Menurutnya, gaji dikekalkan seperti kadar sebelum ini dan pengiraan perincian gaji pokok perlu disertakan dalam penyata gaji bulanan.
“Peserta tidak perlu bimbang lagi kerana perkara ini telah selesai dan tiada sebarang pemotongan gaji pokok. Ia dikekalkan seperti kadar asal. “Selain isu berkenaan, beberapa perkara juga turut dibincangkan antaranya kebajikan peserta, isu pengambilan tenaga pekerja asing dan milikan rumah.
“Selain itu, pembinaan sekolah rendah dan kelulusan surau ECER untuk dinaiktaraf sebagai masjid bagi solat Jumaat turut menjadi isu yang dibincangkan,” katanya. Pertemuan berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar (Bahagian Pembangunan Modal Insan) ECERDC, Zulkifli Yaacob dan Pengurus Operasi ECER Rantau Manis, Salehuddin Muhammad.
Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, kebajikan peserta terutama mereka yang uzur, waris dan isteri peserta akan dibela. Jelasnya, keperluan tenaga kerja perlu diberi ruang kepada peserta terlebih dahulu sebelum dibuka kepada pihak luar.
“Kelulusan berkaitan surau juga diketengahkan dan susulan akan dibuat kepada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik). “Kita juga melihat pembinaan sekolah rendah di kawasan taman berkenaan juga adalah satu keperluan di mana jumlah pelajar sekolah kini melebihi 300 orang. Status projek ini akan dikenalpasti memandangkan dana telah diperuntukkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, isu penyalahgunaan dadah juga akan dikuatkuasakan dalam mewujudkan kerjasama mampan antara ECER, wakil rakyat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia. “Program berkala akan diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa.
Kita akan pastikan taman ini tidak dicemari dengan najis dadah. “Dalam isu milikan rumah pula, ECER dalam proses terakhir bagi menyediakan geran kepada peserta,” katanya.