KUALA ROMPIN – “Saya tidak sangka pun akan berjaya membuka perniagaan kedai telefon bimbit sendiri walaupun sebelum ini selalu tukar kerja dan banyak buang masa,”.
Demikian luahan seorang pelatih cemerlang, Ahmad Razuan Hafiz Rasman, 23, di Majlis Konvokesyen dan Juara Empower ECER yang turut dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gemilang Muda.
Menurutnya, hidupnya yang pada permulaannya seolah tiada hala tuju telah berubah selepas menyertai kelas latihan membaiki telefon bimbit yang disediakan Empower ECER Rompin.
Beliau berkata, walaupun langsung tidak mempunyai minat dalam bidang elektronik tetapi semua itu turut berubah selepas mula menggunakan alat-alatan elektronik ketika latihan dan menyedari ia mudah untuk dikendalikan.
“Kalau ingat kembali memang macam tidak percaya sebab beberapa tahun lalu saya tiada apa-apa pun, tetapi sekarang semua sudah berubah dan kini saya memiliki perniagaan kedai telefon bimbit sendiri di Kampung Pianggu.
“Ia juga bukan sekadar perniagaan tetapi turut memberi kelebihan kepada penduduk di kampung itu dan sekitarnya untuk mendapatkan pelbagai servis termasuk membaiki telefon bimbit dengan harga berpatutan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Seramai 400 pelatih kemahiran Empower ECER Rompin telah diraikan majlis konvokesyen yang julung kali diadakan itu yang turut dihadiri 105 pelajar cemerlang dari beberapa buah sekolah sekitar Rompin.
Turut hadir menyempurnakan majlis, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin, Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Safiah Ismail.
Sementara itu, Safiah yang ditemui mengucapkan tahniah kepada pelajar dan pelatih yang terlibat atas kejayaan serta berharap semua yang terlibat terus berjaya pada masa akan datang dalam bidang yang diceburi.
“Bagi pelajar cemerlang yang diraikan, kami berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan ke peringkat lebih tinggi, meningkatkan mutu akademik dan mencapai cita-cita.
“Pelatih kemahiran mendapat sijil pula, ia merupakan satu pengiktirafan selepas menamatkan kursus yang banyak memberi kemahiran bagi menjana pendapatan lebih banyak untuk keluarga seterusnya memberi sumbangan balik kepada komuniti,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/dulu-buang-masa-sekarang-usahawan-berjaya-1.552020