Sinar Harian Online – Nenek tujuh cucu tidak lepas peluang berkonvo

KUALA ROMPIN – Biar pun sudah berumur menjangkau 70 tahun, seorang nenek kepada tujuh cucu tidak melepaskan pengalaman graduan konvokesyen selepas menamatkan latihan membuat kek dan pastri bersama Empower ECER Rompin.

Penduduk Bukit Ibam, Sharifah Azah Syed Mahadzar, 67, berkata, majlis konvokesyen bukanlah majlis yang asing bagi dirinya kerana sudah beberapa kali hadir meraikan konvokesyen beberapa orang anaknya.

Menurutnya, tidak sangka pula walaupun sudah berumur, kini tiba gilirannya pula untuk berkonvokesyen dan peluang itu sudah pasti tidak akan dilepaskan sama sekali kerana ia mungkin datang hanya sekali.

“Tidak sangka sekarang tiba giliran makcik pula yang berkonvokesyen, selama ini hanya hadir di majlis konvokesyen anak dan sudah tentu tidak terkata kegembiraannya.

“Macik juga rasa bangga pada diri apabila dapat memenuhi impian untuk menjadi graduan, walaupun bukan di peringkat pengajian tinggi, cukuplah sekadar menamatkan latihan kemahiran bersama Empower ECER,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen dan Juara ECER yang turut dihadiri, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin, Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Safiah Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini.

Berkongsi semangatnya menjadi pelatih walaupun sudah berusia, Sharifah Azah memberitahu beliau memang seorang yang aktif sejak muda dan terlibat dalam perniagaan menjual pelbagai kuih serta sate.

Katanya, selepas mendapat tahu mengenai kursus kek dan pastri yang ditawarkan oleh Empower ECER Rompin, beliau memang berminat untuk mempelajari kaedah moden membuat kek serta roti.

“Kalau ikutkan badan memang dah tak larat tetapi hati besar untuk ikut serta menjadi pelatih selepas mendapat informasi daripada pihak Empower  ECER Rompin yang datang ke Bukit Ibam memberi penerangan.

“Sepanjang kursus makcik dapat banyak pengetahuan kaedah moden membuat kek dan roti, sebelum ini makcik biasa buat guna kaedah tradisional sahaja seperti yang dipelajari dengan orang dulu-dulu,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/nenek-tujuh-cucu-tidak-lepas-peluang-berkonvo-1.552056