Sinar Harian – R&R Gemang tumpuan usahawan Jeli

JELI – Dari hanya hentian Rehat dan Rawat (R&R) biasa, kini R&R Gemang menjadi antara lokasi tumpuan usahawan di Parlimen ini apabila menyediakan kemudahan tapak niaga khusus untuk jualan ‘car boot sale’ atau jualan dari but kenderaan.

Usaha Gabungan Usahawan Parlimen Jeli (GUPJ) dengan beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, Majlis Amanah Rakyat, Majlis Daerah Jeli dan empower ECER itu telah berjaya mengubah landskap R&R tersebut.

Timbalan Pengerusi GUPJ, Adnan Abdullah berkata, pada mulanya mereka menghidupkan lokasi berkenaan sebagai car boot sale bagi memberi peluang kepada usahawan di sini menjalankan urus niaga santai melalui bonet kereta mereka.

“Bagaimanapun apa yang berlaku di luar jangkaan apabila ia lebih meriah dan dikunjungi bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah turut menarik perhatian mereka yang menggunakan laluan ini. “Sasaran kita untuk memberi peluang niaga yang lebih luas kepada usahawan di Parlimen ini sekali gus bantu mereka jana pendapatan lebih baik.

“Urus niaga di sini hanya tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin dari jam 4 petang hingga 9 malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini. Menurutnya, sehingga kini terdapat 20 usahawan yang benarbenar serius menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Kita nak hidupkan kawasan ini sebagai salah satu tarikan di Jeli, jadi ia memerlukan komitmen daripada semua peserta yang terlibat, kita sediakan kemudahan tempat makan untuk pengunjung lebih lama berada di sini dan menikmati apa yang ditawarkan peniaga,” katanya.

Jelasnya, selain makanan dan minuman sebagai produk utama, medan niaga berkenaan turut menjual alat- alat kosmetik dan barangan lain. “Sasaran jualan kita juga kepada pelajar-pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan kumpulan pelajar ini antara yang banyak menyumbang dalam merancakkan lagi urus niaga di sini,” katanya.