Sinar Harian – Shakila mahu ubah nasib keluarga

TANAH MERAH – Tinggal dalam kawasan jauh di pedalaman tidak menghalang anak seorang buruh mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Ladang Kerilla di sini.

Nur Shakila Ilyana Mohd Shukeri,16 berkata,sebelum ini dia hanya memperolehi 1A dalam peperiksaan percubaan PT3. “Saya betul- betul tidak sangka dan kecemerlangan ini saya hadiahkan kepada kedua ibu bapa yang tidak jemu terus memberi semangat kepada saya untuk terus belajar.

“Walaupun kehidupan keluarga serba kekurangan namun saya perlu berusaha untuk mengubah nasib keluarga,”katanya. Nur Shakila ditemui dalam kunjungan rombongan Program Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)diwakili,Eksekutif ECERDC, Siti Fairuz Zahari, Pengurus Projek Empower Suraindran Kanda dan Kaunselor Organisasi PPD Tanah Merah, Amiran Adnan.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang itu juga berkata, dia tidak menjadikan kekurangan hidupnya sebagai halangan untuk belajar. Menurut, Nur Shakila amalan solat hajat dan belajar dalam kumpulan menjadi rutin yang dilakukan setiap hari sebelum peperiksaan.

“Saya tidak pernah tinggal amalan itu setiap malam dan Alhamdulillah ia membantu kejayaan saya dalam peperiksaan. Menurut Shakila, jarak kediamannya yang jauh dari sekolah juga menyebabkan dia perlu tinggal di asrama. “Lagipun saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa saya, dan kediaman saya jaraknya jauh yang mengambil masa lebih sejam jika saya berulang alik.

“Apa yang saya harapkan kini, harapan saya untuk meneruskan cita-cita menjadi doktor pakar bedah akan tercapai dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk terus berjaya. Nur Shakila berkata, jangan jadikan kekurangan hidup sebagai halangan untuk tidak berusaha dan meratapi nasib,namun terus bangkit dan bangun untuk berjaya.