TLT Dynamic Sasar Pengeluaran 300 Kg Cendawan

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — TLT Dynamic Sdn Bhd, pengeluar cendawan
terkemuka di Terengganu, akan menambah pengeluaran cendawannya kepada 300
kilogram sehari sebaik sahaja tiga lagi ladangnya siap.
Pada masa ini, syarikat itu mengeluarkan hampir 100 kilogram cendawan tiram
setiap hari.
Pengerusi eksekutifnya, Sufian Mohd, berkata syarikat itu memulakan pengeluaran
komersial cendawan tiram kelabu Oktober lepas dengan mengeluarkan 50 kilogram
cendawan sebagai permulaan.
“Syarikat ini membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk membina lima ladang,
setiap satu dengan keupayaan menampung 30,000 kampit benih cendawan yang
boleh dituai selepas lima bulan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di
Kuala Terengganu hari Isnin.
Cendawan tiram dianggap sebagai kesukaan penggemar makanan yang tinggi cita
rasanya di seluruh dunia.
Bahan makanan yang terkenal kerana khasiat pemakanannya ini termasuk sebagai
antioksiden, merupakan alternatif yang baik bagi protein haiwan dan dipercayai
boleh mencegah barah.
Tahun lepas TLT menandatangani janji niaga dengan GCH Retail (M) Sdn Bhd untuk
menjual cendawannya di 87 cawangan rantaian gedung Giant dan 16 kedai Cold
Storage di seluruh negara.
Sufian berkata TLT juga memasarkan cendawannya ke pasar-pasar raya lain di
Terengganu.
Terengganu semakin berkembang sebagai pengeluar cendawan yang besar bagi
mengurangkan pergantungannya kepada Thailand.
Kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan berjumlah RM110,000 kepada
penanam cendawan tahun lepas bagi merangsang industri ini dan mewujudkan
usahawan ladang.
Menurut Jabatan Pertanian dan Jabatan Perangkaan, lebih 2.6 juta tan metrik
cendawan bernilai kira-kira RM27.74 juta diimport pada 2004.China, Kanada dan India adalah tiga pengeluar cendawan segar dan diproses
terkemuka di dunia.
Pengeluaran cendawan dunia terdiri daripada 31 peratus cendawan butang, 24
peratus cendawan shiitake , 14 peratus cendawan tiram, sembilan peratus telinga
kera dan lapan peratus cendawan jerami padi.
— BERNAMA