Pekan, 23 Mei- Enam peserta daripada lepasan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER Mahkota kini mampu tersenyum dan menarik nafas lega apabila mereka berjaya melepasi saringan temuduga dan terpilih untuk memulakan perniagaan di Kompleks Serambi Pekan yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Bangunan kompleks yang menelan belanja kira kira RM 12 juta meliputi kawasan seluas lebih 21,000 kaki persegi ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia , YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam satu majlis perasmian yang diadakan baru-baru ini. Kompleks ini diwujudkan bertujuan untuk menyediakan platform bagi usahawan industri kecil dan sederhana mempamerkan dan menjual produk tempatan. Ini selaras dengan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan taraf pendapatan usahawan kecil dan sederhana sekaligus mampu membentuk keluk ekonomi yang kukuh bagi pendapatan negara.

Menurut Pengurus Projek ECER UMP, Zainal Bahari berkata,  mereka yang terpilih  merupakan peserta yang telah menamatkan program kulinari, jahitan dan rekaan fesyen serta membaiki telefon bimbit. Mereka dilatih oleh pihak UMP melalui UMP Advanced Education dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) dalam Program Latihan kemahiran dan Keusahawanan yang dibiayai pihak ECERDC.  

“Program empower ECER Mahkota yang dimulakan sejak tiga tahun lalu banyak menghasilkan usahawan kecil dan sederhana serta berjaya meningkatkan taraf hidup mereka. Melalui program  yang ditawarkan oleh pihak ECERDC, seramai 215 peserta telah dilatih untuk menguasai kemahiran mengikut bidang yang mereka minati. Peserta kemahiran ini dibimbing  menjadi sebagai usahawan kecil dan sederhana yang berjaya,” katanya.

Tambah beliau, sokongan dari segi material dan moral sentiasa disuntik oleh pihak ECERDC dan UMP bagi memastikan para peserta berada di landasan yang tepat dan sentiasa bersemangat untuk menjadi usahawan yang berjaya. Mereka adalah Julizawati Idris, pemilik Juliza Collection yang merupakan peserta yang menerima “push cart” sumbangan empower ECER Mahkota bagi menjalankan perniagaan tempahan dan jualan pakaian. Begitu juga dengan pengusaha Fieza Collection, Roshapiza Ngah merupakan peserta dalam program jahitan dan rekaan.

Musarizal Mistafa dan Mohamad Juhari Mohamad Said pula berjaya menerima kiosk jualan bagi perniagaan membaiki telefon bimbit. Manakala Mohd. Amirul Ashraf Mohd. Yuddin pula merupakan peserta lepasan program kulinari yang menjalankan perniagaan menjual produk makanan sejuk beku dengan nama kedai Zai Frozen Food Enterprise. Beliau sangat teruja dan menghargai bantuan UMP dan empower ECER Mahkota atas peluang yang diberikan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini. Malahan, beliau dapat mengubah taraf hidup dan menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga.

Berita disediakan oleh Zainal Bahari dari UMP Advanced Education Sdn. Bhd dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.