Usaha ECER tarik pelabur China

11/2/2010 — Utusan Malaysia
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menganggap Fomm Ekonomi China Sedunia kedua sebagai satu platform yang baik untuk memperkenal koridor ekonomi itu sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat global kepada usahawan China dan diaspora Cina.
Seramai 500 pemimpin terkemuka perniagaan dari 20 negara mengambil bahagian dalam forum itu yang bermula di sini hari ini, katanya dalam satu kenyataan.
Pada satu sesi bertajuk “Mencarta Laluan Sutera Baharu (Charting a New Silk Road)”, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John akan menyampaikan ceramah mengenai ECER sebagai gerbang pelaburan ke Rantau Timur Jauh dan Asia Pasifik, dengan penduduk berjumlah empat bilion dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tergabung berjumlah AS$17 trilion (RM52.5 trilion).
Menurut kenyataan itu, penyertaan ECERDC dalam acara itu adalah susulan misi pelaburannya ke Xiamen, China pada September yang menyaksikannya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Xiamen Zhong Seng Oil and Grains Company Ltd untuk bekerjasama dalam kegiatan pengeluaran minyak sawit hiliran dalam ECER.
Satu lagi projek melibatkan usaha sama antara TP Silicon Metal Sdn. Bhd. dengan Chongqing Magnetic Foreign Co. Ltd., bagi kegiatan perkilangan di Taman Industri Berat Kemaman dalam ECER. Projek itu diluluskan pada Oktober.
ECERDC juga sedang berbincang dengan beberapa pelabur berpotensi lain dari China yang telah menyuarakan minat terhadap wilayah itu, kata Jebasingam.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dengan China melebihi AS$53 bilion tahun lepas, dan Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar China di kalangan negara-negara ASEAN.
Perdagangan antara kedua-dua negara dijangka berkembang selanjutnya dengan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas China ASEAN pada Januari.