26 September, 2008 16:11 PM
Usahawan Rebana Jual Produk Di Luar Negara
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Seorang usahawan muda Bumiputera
mendapat ilham memasarkan hasil seninya ke luar negara susulan permintaan
kukuh untuk rebana, sejenis gendang tradisional.
“Selain menghasilkan rebana untuk pertunjukan dikir barat, marhaban dan
perkahwinan, saya juga membuat rebana sebagai cenderahati untuk pelancong
asing serta bagi acara-acara korporat,” kata Hapizi Husin, 26, satu-satunya
usahawan muda yang berminat menghasilkan instrumen tradisional ini di Besut.
“Alhamdullilah, dengan tunjuk ajar bapa, saya mampu meningkatkan kemahiran ini
menjadi sumber rezeki bagi menanggung keluarga dan Insha-Allah, saya berghasrat
meneroka pasaran rebana antarabangsa tidak lama lagi,” katanya menerusi satu
kenyataan hari ini.
Memandangkan alat muzik itu mendapat permintaan tinggi sebagai cenderahati
untuk pelancong serta pertunjukan muzikal seperti dikir barat dan pertunjukan
tradisional, rancangan sudah diatur bagi membawa rebana ke satu peringkat baru.
Menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), industri kraftangan seperti batik
dan rebana, berkait rapat dengan sektor pembuatan dan pelancongan.
Pembuatan rebana termasuk dalam kelompok berasaskan kayu ECER, dengan
aktiviti huluan boleh didapati di kawasan pedalaman seperti Kelantan atau
Terengganu.
Eksport kelompok berasas kayu Malaysia dijual ke lebih 100 negara, dengan nilai
melebihi RM15 bilion.
Mengikut pelan induk ECER, satu cara bagi rebana sampai ke pasaran
antarabangsa ialah menerusi muzium kraf. Ia boleh menjadi pusat sehenti bagi
pengeluar memasarkan dan menjualnya kepada pelancong di ECER.
“Kebiasaannya apabila produk siap, kami menghantaranya ke Majlis Daerah Besut
untuk dipasarkan. Kami juga mengambil bahagian dalam pelbagai pameran dan
karnival bagi mempromosikan rebana,” kata Hapizi di bengkelnya di Kampung Gong
Ubi Keling, Besut.
Antara cabaran utama perniagaan itu ialah mendapatkan bahan mentah serta
kosnya yang tinggi.
“Bahan mentah boleh dicari selagi kami serius mengusahakannya dan saya harap anak lelaki saya akan mewarisi seni ini dan menjaga imej rebana,” katanya.
Walaupun rebana mempunyai peminatnya sendiri, ia tidak terkenal seperti batik atau
songket kerana kekurangan pekerja mahir dan pereka bentuk di Malaysia.
Ini bermakna bagi membangunkan industri itu, latihan diperlukan. Perlu ada bilangan
besar pekerja mahir mengekalkan bilangan artis mahir dalam bidang itu dan
mengekalkan tarikan terhadap produk berkenaan.
Terdapat empat jenis rebana, namely rebana pengerum, rebana ubi, rebana
penganak dan rebana dikir barat. Di Johor, rebana dikenali sebagai rebana hadrah.
Rebana terbesar ialah rebana ubi, dengan ukur lilit sekurang-kurangnya 70 sm.
Rebana ubi digunakan secara meluas oleh orang Melayu di Pantai Timur, terutama
di Kelantan and Terengganu.
Rebana pernah digunakan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, ia dapat
bertahan ujian masa dan meneruskan kelangsungan hidupnya sebagai alat muzik
tradisional