Utusan Online – 537 peserta raih projek ECER pendapatan lumayan

GUA MUSANG 28 Julai – Golongan miskin tegar di Rantau Manis di sini yang menjadi peserta Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menunjukkan pencapaian membanggakan apabila mereka meraih pendapatan lumayan mencecah RM2,000 sehingga RM4,000 sebulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, seramai 537 peserta dari Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli telah menyertai projek Agropolitan ECER sejak tahun 2009.

“Pendapatan peserta di sini berbeza-beza mengikut usaha dan kerajinan mereka. Keseluruhannya purata pendapatan peserta menjangkau RM2,000 dan paling tertinggi ialah RM4,000 sebulan.

“Mereka yang memperoleh pendapatan tertinggi kerana melakukan kerja tambahan se­perti membuat aktiviti pertanian, menternak lembu, biri-biri dan membuat aktiviti perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pemberian baucer wang tunai sebanyak RM150 seorang kepada 537 peserta Projek Agropolitan ECER di Rantau Manis di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Bahagian Perancangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Ke­sedar), Suhaimi Othman dan Ke­tua Unit Agropolitan ECER Rantau Manis, Hafiz Dollah.

Tambah Mat Yusoff, peserta Projek Agropolitan ECER perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan sebuah kediaman dan peluang pekerjaan kepada mereka.

Katanya, projek tersebut turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rumah kedai, tadika, surau, dewan orang ramai, gelanggang futsal kepada lebih 3,000 penduduk di sini.

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/537-peserta-raih-projek-ecer-pendapatan-lumayan-1.363336

Close Menu

Stay connected, stay updated.

Follow us on Social Media Facebook Instagram Tiktok Linkedin