Utusan Online – Program kerjasama Utusan, ECER bantu PPD capai sasaran

BENTONG 27 Julai – Program kerjasama yang dilakukan dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kecemerlangan akademik termasuk bersama Utusan Malaysia dan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) amat signifikan dalam membantu meningkatkan pencapaian pelajar di daerah ini.

Pegawai Pendidikan Daerah, Misnan Damin berkata, program kerjasama berkenaan merupakan pengisian penting dalam usaha pihaknya mencapai sasaran kecemerlangan ditetapkan dalam setiap peperiksaan.

“Berdasarkan keputusan tahun lalu, kita telah membuat bedah siasat serta menetapkan apa yang hendak dicapai pada tahun ini. Program kerjasama ini merupakan satu usaha yang amat signifikan dalam membantu mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak terlibat seperti ECER, Utusan Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Pahang yang turun membantu mengadakan pelbagai program,” katanya pada Program Let History Speaks Your Legacy di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong di sini hari ini.

Yang hadir sama Pegawai ECER negeri, Siti Nadiah Jamaluddin.

Seramai 210 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMK Ketari, SMK Karak, SMK Sri Pelangai dan SMK Bentong menyertai bengkel anjuran ECER tersebut.

Dalam pada itu, Misnan berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam menjalankan pelbagai program kecemerlangan akademik di daerah ini secara berterusan.

Katanya, menerusi program itu, pelajar mendapat lebih ba­nyak pendedahan daripada pelbagai pihak khususnya pakar da­lam sesuatu mata pelajaran.

Sementara itu, Siti Nadiah berkata, program berkenaan me­­­ru­­­pakan antara program akademik ECER yang dijalankan di negeri ini bagi membantu mening­katkan kecemerlangan pelajar.

“Program seperti ini yang dilihat mendapat sambutan baik daripada guru dan pelajar akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/program-kerjasama-utusan-ecer-bantu-ppd-capai-sasaran-1.363027

Close Menu