Utusan Online – Dari tukang sapu, Rosniza jadi usahawan berjaya

Dari tukang sapu, Rosniza jadi usahawan berjaya

ABDULRAHMAN MOHAMAD (tiga dari kanan) menyampaikan plak dan sijil Anugerah Usahawan Berjaya kepada Rosniza Yeop Isa dalam Majlis Konvokesyen Empower di Lipis, Pahang, baru-baru ini. UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

LIPIS 3 Feb. – Keputusan seorang tukang sapu dari Kampung Beletik di sini menyertai program Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak dua tahun lalu berjaya membebaskan keluarganya daripada kesusahan hidup apabila bidang keusahawanan yang diceburinya mendatangkan pendapatan lumayan kepadanya.

Jika sebelum ini Rosniza Yeop Isa, 38, hanya memperoleh upah bulanan sebanyak RM600 dengan berkerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah di sini, kini usaha dan kesabarannya berbaloi apabila memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 menerusi perniagaan produk sejuk beku yang dijalankannya.

Wanita itu berkata, dia memutuskan menyertai latihan keusahawanan di bawah program Empower ECERDC selepas mendapati pendapatannya sebagai tukang sapu dan suaminya, Nazahar Md. Yusoff, 42, yang bertugas di Jabatan Kemajuan Masyarakat tidak mencukupi untuk perbelanjaan keluarga mereka sekali gus bergelut dengan kesusahan hidup.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ECERDC kerana latihan diberikan mengubah kehidupan keluarga kami,” katanya selepas menerima Anugerah Usahawan Berjaya sempena Majlis Konvoke­syen Program Empower Lipis, di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan dan penyampaian sijil tamat latihan kepada 400 usahawan program Empower Lipis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Menurut Rosniza yang mempunyai lima anak masih bersekolah, hasil bimbingan selama setahun di bawah program Empower membantu melengkapkan kemahirannya membuat makanan sejuk beku seperti karipap, sardin gulung dan kuih kacang.

Katanya, produk sejuk beku itu dipasarkan sendiri ke premis perniagaan makanan dan pekan sehari selain menerima tempahan daripada agensi kerajaan serta majis kenduri penduduk di sekitar daerah ini.

“Saya menghasilkan pelbagai kuih tradisional dan makanan ringan berasaskan sejuk beku kerana produk ini mampu bersaing di samping mempunyai ramai penggemarnya.

“Syukur kerana perniagaan ini semakin berkembang. Jika sebelum ini saya keluar berurusan di bandar Kuala Lipis dengan menunggang motosikal, kini hasil pendapatan perniagaan mampu memiliki sebuah kereta untuk digunakan bagi tujuan pemasaran,” katanya.

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/dari-tukang-sapu-rosniza-jadi-usahawan-berjaya-1.186571