Tarikan Pelancongan Pahang Diperkukuh dengan Penyiapan Projek Pelancongan Lestari ECERDC
PUTRAJAYA, 22 OGOS 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM5.6 bilion setakat akhir Julai 2023. Antara pelaburan tersebut adalah dalam sektor pelancongan, perkhidmatan, pembuatan, Minyak, Gas & Petrokimia (OGP) dan Perniagaan Tani. Sejumlah 64% daripada pelaburan komited tersebut adalah pelaburan langsung domestik (DDI) dan 36% adalah pelaburan langsung asing (FDI) dari negara Singapura, China dan Kanada.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail pada mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang hari ini memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan komited berjumlah RM5.6 bilion ke negeri Pahang dan penyiapan projek-projek pelancongan ECERDC.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ECERDC atas penganjuran sambutan Ulang Tahun ke-15 dan Siri Invest@ECER di Pahang pada 4 Julai 2023 yang lalu. Saya yakin, ECERDC akan terus menarik lebih banyak lagi pelaburan bernilai tinggi dengan kerjasama erat agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Saya juga gembira dengan projek-projek infrastruktur pelancongan yang dilaksanakan oleh ECERDC di Pahang dan saya percaya, projek-projek ini akan menghasilkan kesan limpahan dan membawa manfaat kepada negeri Pahang dan rakyatnya,” tambahnya.
Daya tarikan pelancongan negeri Pahang diperkukuhkan lagi dengan penyiapan Jeti Kampung Salang, flotila teratai di Tasik Chini, serta kerja-kerja menaik taraf di Pantai Hiburan Rompin yang akan siap tidak lama lagi. Projek-projek ini bakal meningkatkan lagi tarikan Pahang sebagai destinasi pelancongan yang mampan.
Kerja-kerja menaik taraf jeti Kampung Salang di Pulau Tioman yang baru siap telah dilaksanakan bagi membaik pulih jeti yang telah usang untuk memberi manfaat kepada para pelancong dan penduduk pulau. Manakala projek flotila teratai adalah kerjasama antara ECERDC dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC-UKM) untuk memulihara populasi teratai dan biosfera Tasik Chini.
Penaiktarafan Pantai Hiburan Rompin pula melibatkan pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain. Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai Taman Kenderaan Rekreasi (RV) yang pertama di ECER.
“Projek-projek ini serta kerja-kerja naik taraf di Pantai Hiburan Rompin yang akan siap tidak lama lagi adalah sebahagian daripada strategi ECERDC untuk “Mencipta Destinasi” bagi memangkin pelancongan domestik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan destinasi mampan, selari dengan fokus Kerajaan Persekutuan ke arah ekopelancongan dan pelancongan lestari. Semua projek ini akan memberi peluang yang bermakna kepada pelancong untuk berinteraksi dengan alam semula jadi dan penduduk tempatan,” kata Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Di bawah Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025, Malaysia mensasarkan untuk mewujudkan sinergi antara komuniti, ekonomi dan pelancongan bagi menggalakkan interaksi di antara penduduk tempatan dan para pelancong. Ini akan membolehkan para pelancong menyelami budaya Malaysia menerusi interaksi dengan penduduk tempatan yang akan membawa impak positif kepada masyarakat.
Ketika mesyuarat, Ahli Jawatankuasa ICC Pahang telah diberi taklimat mengenai penyerahan dua projek perniagaan tani ECERDC berdasarkan model perkongsian awam-swasta yang berjaya, iaitu Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) kepada Farm Fresh Berhad dan Projek Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang bakal dilaksanakan kelak.
ECERDC juga menjalankan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) – INTAN bagi membasmi kemiskinan di ECER melalui pelaksanaan program fertigasi cili. Inisiatif ini melibatkan pelantikan Syarikat Induk sebagai pengendali projek yang akan menggaji serta melatih golongan miskin tegar dan B40 dalam tanaman fertigasi cili. Projek ini akan dilaksanakan dengan dana daripada Kerajaan Persekutuan dan tanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Ahli Jawatankuasa ICC Pahang turut diberi taklimat mengenai projek dan inisiatif ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk Lingkaran Tengah Utama (dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road), paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng, pemuliharaan fasad bangunan warisan di Pekan serta Pelan Induk ECER 3.0 yang sedang dirangka.