ECERDC SASAR TARIK RM9.5 BILION PELABURAN KOMITED KE NEGERI PAHANG PADA TAHUN 2023

Pantai Hiburan Rompin dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER 

PUTRAJAYA, 7 MAC 2023: Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini, peningkatan lebih 40% daripada pelaburan komited yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion tahun lepas. Pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas, dan petrokimia, serta sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

Dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang. Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang hari ini menzahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang, seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” kata YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.

“ECERDC menyokong sepenuhnya agenda pembangunan Kerajaan, terutamanya dalam memangkin pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu kerana ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti atau ‘pekerjaan yang bermaruah’, di samping membangunkan tenaga kerja ECER selaras dengan agenda ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.

Ketika mesyuarat ICC Pahang, ahli jawatankuasa ICC telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri RV di Malaysia, termasuk lawatan bulan lepas oleh pengurusan tertinggi daripada syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECER semasa lawatan kerja selama tiga hari dari 7 hingga 9 Februari 2023.

ECERDC, dalam usaha “Mencipta Destinasi” bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan, kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin. Projek ini merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain. Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

Ahli Jawatankuasa ICC Pahang juga diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Kg. Salang, Pulau Tioman, paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin.