PROJEK PERLINDUNGAN PANTAI ECERDC DI SEPANJANG JALAN LAPANGAN TERBANG KUALA TERENGGANU (KTAR) DIJANGKA SIAP PADA HUJUNG MAC 2023

600 Peserta Lulus Program Pembangunan Modal Insan ECER

KUALA TERENGGANU, 2 MARCH 2023: Projek sistem perlindungan pantai di sepanjang Pantai Seberang Takir yang melibatkan kerja-kerja pemuliharaan pantai serta pembinaan ‘North Groyne’ dan ‘South Groyne’ di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC), dijangka akan siap pada 31 Mac 2023.

Perkembangan terkini projek ini dimaklumkan oleh ECERDC dalam mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelaksanaan ECER (ICC) di Terengganu, hari ini. Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar yang mempengerusikan mesyuarat ICC kali ini mengalu-alukan usaha murni ECERDC dalam pemuliharaan pantai sekitar Terengganu terutamanya di kawasan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) dan di Teluk Lipat, Dungun.

“ECERDC komited untuk memastikan kerja-kerja sistem perlindungan pantai di sepanjang Pantai Seberang Takir dan juga empat tanjung buatan di Pantai Teluk Lipat dapat disiapkan pada tahun ini. Ini sangat penting untuk tujuan pemuliharaan pantai-pantai di Terengganu yang sentiasa berisiko ketika monsun di samping memastikan pembangunan projek pelancongan di Terengganu tidak terjejas,” kata Dato Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Ahli-ahli mesyuarat ICC turut dimaklumkan tentang projek-projek ECERDC lain yang sedang dilaksanakan antaranya termasuklah Projek Bekalan Air Kemaman-Gebeng dan Projek Penaiktarafan Jalan Pakej 2 : KTCC-KTAR yang telah bermula sejak awal tahun ini dan dijangka siap pada Julai 2025 nanti.

ECERDC turut membentangkan kepada ahli mesyuarat ICC kali ini tentang usaha giat yang berterusan untuk memantapkan perniagaan tani dalam sektor tanaman, tenusu dan perikanan sebagai sokongan terhadap agenda keselamatan makanan negara.

Selepas mesyuarat ICC, ahli-ahli mesyuarat telah menghadiri Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECER Negeri Terengganu yang diadakan dengan kerjasama SIRIM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Di majlis tersebut, mereka turut menyaksikan pelancaran Program

Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Sesi 2022-2024 (UMT) serta Program Yayasan PETRONAS entrepreneur ECER dengan kerjasama SIRIM.