ECERDC SASARKAN RM8 BILION PELABURAN KOMITED UNTUK NEGERI PAHANG PADA TAHUN 2022

KUANTAN, PAHANG, 22 MAC 2022: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik sebanyak RM8 bilion pelaburan komited untuk negeri Pahang pada tahun ini. Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 8,000 pekerjaan baharu dan 400 peluang keusahawanan untuk rakyat Pahang. Pelaburan yang berpotensi pada tahun ini termasuk pengeluaran bahan guna perubatan, pemprosesan silika, pengeluaran aloi dan mineral. Tahun ini, ECERDC juga menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.7 bilion di negeri ini.

Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) dari 2018 hingga Disember 2021, ECERDC telah mencapai sebanyak RM19.7 bilion pelaburan komited iaitu 64% daripada sasaran EMP2.0 yang berjumlah sebanyak RM31 bilion untuk Pahang sehingga tahun 2025. Daripada jumlah ini, 54% adalah pelaburan langsung asing (FDI) dan 46% adalah pelaburan langsung domestik (DDI).

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang hari ini, dalam memuji prestasi ECERDC pada tahun 2021, telah melahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan memastikan projek strategik dan inisiatif yang dirancang untuk negeri Pahang seperti kerja-kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan akan terus dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi kedudukan negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan agar faedah ekonomi dapat dinikmati oleh penduduk setempat. YAB Menteri Besar Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan program-program pembangunan modal insan ECERDC di negeri Pahang bagi tahun 2022.

Salah satu projek utama ECERDC untuk mengukuhkan tarikan pelaburan ke negeri Pahang ialah pembinaan projek bekalan air Kemaman-Gebeng sepanjang 29km. Apabila siap kelak, projek ini bakal menyalurkan air dari Kemaman, Terengganu, ke Gebeng, Pahang dan akan memenuhi permintaan masa depan pelabur di kawasan perindustrian Gebeng sekaligus mengukuhkan daya tarikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif. Ini juga akan membantu menarik pelabur untuk memilih Gebeng sebagai lokasi pilihan mereka untuk pelaburan. Projek lain yang sedang dijalankan di Pahang ialah menaik taraf jeti Kg. Salang dan Kg. Genting, dan jambatan Sungai Mangkai di Tioman, menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating serta Pantai Hiburan Rompin yang dijangka akan mengukuhkan industri pelancongan pulau dan pesisir pantai di Pahang.
“Penarikan pelaburan yang menggalakkan dalam tempoh mencabar ini sememangnya bukti kerjasama erat di antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan Negeri. ECERDC akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan ke dalam bidang tumpuan utama Pahang sambil meneroka industri baharu seperti pembuatan dan pelancongan Kenderaan Rekreasi (recreational vehicle – RV) seperti yangi telah dibentangkan di dalam kedua-dua Mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan Mesyuarat ICC Pahang yang telah diadakan pada hari ini. ECERDC juga akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak syarikat untuk menubuhkan pusat data di Taman Teknologi Pahang kami,” kata YH Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Industri Kenderaan Rekreasi (RV) bakal membuka dua peluang besar kepada negeri Pahang. ECERDC mensasarkan untuk menarik pelabur Jerman bagi mengeluarkan kenderaan RV di Taman Automotif Pekan dan juga mengukuhkan tarikan pelancongan Pahang yang kaya dengan keindahan pantai, tasik dan destinasi pelancongan seperti Pantai Hiburan Rompin dan Tasik Bera yang telahpun dikenal pasti untuk pembangunan taman RV.

Projek pelancongan lain yang telah dirancang termasuk pemeliharaan sejarah dan warisan Sungai Lembing. ECERDC merancang untuk mengekalkan sejarah Sungai Lembing sebagai tapak perlombongan bijih timah bawah tanah paling dalam dan terpanjang yang bakal menjadikan Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik serta dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam sektor pelancongan.

ECERDC juga melaksanakan program yang holistik dalam usaha untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat. Program empower ECER Latihan Akademik adalah program yang tertumpu kepada peningkatan prestasi akademik pelajar, manakala empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan menyediakan latihan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan untuk membangunkan usahawan baharu yang mampan. ECER turut memperkasakan usahawan sedia ada untuk membangunkan perniagaan mereka menerusi program entrepreneur ECER manakala PENJANA-ECERDC menumpukan kepada latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling) bagi membolehkan mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik mendapat pekerjaan baharu. Tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih 2,200 pelajar dari 55 sekolah di 11 daerah di Pahang di bawah program empower ECER Latihan Akademik manakala program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan pula menyasarkan untuk melatih seramai 876 peserta di 6 daerah, di mana terdapat peserta-peserta yang sedang menjalani latihan sambil bekerja dan bakal tamat pada penghujung bulan Mac 2022.

ECERDC kekal fokus dalam menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik baru-baru ini. Peserta yang telah menamatkan kursus dan lulus peperiksaan akan memperolehi sijil kompetensi/profesional yang diiktiraf di dalam dan di luar negara, seperti NIOSH, CIDB, OGSP, IRATA dan ASNT. Sehingga kini, 641 peserta telah dilatih di Pahang dan 80% telah memperolehi pekerjaan dengan purata pendapatan RM2,300 sebulan. Pada tahun ini, 430 peserta lagi akan dilatih di bawah program ini dan antara kursus yang ditawarkan ialah kimpalan dan Oil & Gas Safety Passport (OGSP).

Dengan kejayaan program perintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang dijalankan tahun lepas, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), yang ditubuhkan oleh ECERDC, kini melatih peserta yang ingin menceburi kerjaya di dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di bawah program ACES-ECER Jobs Train & Place, yang juga merupakan sebahagian daripada program PENJANA-ECERDC. Kursus yang ditawarkan di bawah program ini termasuk Pembangunan Perisian dan Multimedia Kreatif. Setakat ini, seramai 151 peserta dari Pahang telah dilatih dan daripada jumlah tersebut, 131 telah berjaya mendapat pekerjaan di dalam industri ICT.