ECER Sasar Pelaburan China Dan Asean Di CAEXPO 2012

9/18/2012 — Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memanfaatkan penyertaannya dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2012 untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur Malaysia (ECER), terutamanya dari China dan negara-negara Asean.

Dalam kenyataan hari ini, ECERDC berkata tumpuan utamanya bagi ekspo itu ialah Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), yang pada asalnya dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak kepada Perdana Menteri China, Wen Jiabao, pada April.
“MCKIP unik kerana ia adalah taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama oleh kedua-dua negara dan projek dua hala pertama di Malaysia yang akan diberikan status tahap negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John dalam kenyataan itu.
Untuk memperkenal MCKIP di CAEXPO 2012, perwakilan ECERDC akan juga merangkumi pegawai-pegawai kanan dari Kerajaan Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang, di bawah arahan Menteri Besar, telah pun menubuhkan sebuah pasukan petugas di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mempercepat pelaksanaan MCKIP.
“Di peringkat persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bersama dengan ECERDC sedang merangka satu pakej insentif khas bagi pelabur di MCKIP, selain pakej insentif ECER
yang sedia ada bagi pelabur sekarang,” katanya.