Kenaf hasil komoditi penting: PM

Oleh Ismail Mat dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
BACHOK: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin tanaman kenaf yang digalakkan oleh kerajaan
sebagai alternatif kepada tembakau ketika ini, mampu menjadi komoditi penting seperti getah dan
sawait, dalam jangka panjang.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mampu menjadi pengeluar kenaf terkemuka dunia berdasarkan
kekuatan yang ada khususnya pengalaman dalam pengurusan ladang berskala besar, penyelidikan
dan pembangunan (R&D) serta jalinan antarabangsa yang kukuh.
“Kita terbukti mempunyai kebolehan yang tinggi dalam perladangan berskala besar yang
menghasilkan pulangan lumayan seperti kejayaan dalam komoditi getah dan kelapa sawit, jadi sudah
tiba masanya (meningkatkan pengeluaran kenaf), jangan tunggu lagi.
“Kebolehan mengurus ladang besar, kepakaran R&D menerusi Mardi serta jalinan pasaran yang baik,
saya yakin kenaf akan menjadi sumber pendapatan baru kepada rakyat dan negara ini.
“Petani yang menanam kenaf mampu memperoleh sehingga RM1,500 sebulan dan ia mengambil
masa tiga bulan untuk dituai dan boleh ditanam berulang kali.
“Pada masa sama, mereka boleh turut menternak ikan, lembu serta menanam jagung. Saya harap ini
akan meyakinkan lagi petani untuk menyahut permintaan supaya meningkatkan pengeluaran kenaf,”
katanya ketika merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran
(CPPC) Kenaf dan Penghantaran Pertama Serbuk Kenaf ke Korea, di Beris Lalang, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri
Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.
CPPC kenaf pertama itu adalah usaha sama Symphony Advance Sdn Bhd (SASB) dan syarikat
Korea, Samsung Cheil Industries Inc bagi membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf bagi
penghasilan komponen elektronik serta automotif.
Pewujudan CPPC itu turut membuka peluang kepada 10,000 petani dalam Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECER) di Kelantan dan Terengganu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500
sebulan menerusi tuaian kenaf yang dihantar untuk diproses oleh CPPC, selain berpeluang
menceburi bidang sampingan lain termasuk keusahawanan.
Perdana Menteri berkata, buat permulaan kerjasama dua syarikat terbabit menyaksikan 1,000 tan
serbuk kenaf dieksport ke Korea sebelum ditingkatkan kepada lebih 2,000 tan setiap bulan.
Beliau berkata, dalam usaha memangkin pembangunan kenaf, kerajaan menyediakan insentif cukai
terhadap syarikat yang berminat termasuk pengecualian cukai selama 10 tahun serta elaun
pelaburan cukai sehingga 100 peratus terhadap perbelanjaan modal yang layak selama lima tahun. “Selain itu, syarikat juga akan menikmati pengecualian cukai terhadap dividen yang dibayar kepada
pemegang saham serta pengecualian duti setem bagi perolehan instrumen atau hartanah yang
dipajak,” katanya.
Abdullah berkata, pelaburan kenaf oleh Samsung menunjukkan pelabur luar terus mempunyai
keyakinan tinggi terhadap ekonomi negara yang memerlukan semua pihak menggandakan lagi usaha
supaya inisiatif di bawah ECER akan terus menarik lebih ramai pelabur.
“Projek seumpama ini selaras dasar kerajaan memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani
negara yang mana penekanan diberi kepada aktiviti pertanian berskala besar yang mempunyai nilai
tambah serta aplikasi teknologi moden yang tinggi.
“Sebagai dorongan kepada industri kenaf, kerajaan menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) dan
agensi lain akan terus mempergiatkan usaha memajukan kenaf yang dilaksanakan melalui
penyelarasan pelaburan, promosi dan pembangunan infrastruktur.
“Kerajaan juga sudah mengenalpasti beberapa insentif kepada petani bagi membangunkan tanaman
kenaf antaranya melalui pinjaman mudah, bantuan benih dan bantuan penyuburan tanah,” katanya.
Katanya, inisiatif serta program ECER mula dilaksanakan dengan pusat kecemerlangan akademik
bagi merangsang pembangunan modal insan serta memacu aktiviti R&D sudah ditubuhkan oleh lima
universiti dalam ECER.