Koridor: RM3.5b disediakan

10/24/2009 — Utusan Malaysia
Kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion pada 2010 untuk menyokong perlaksanaan projek-projek sektor swasta di koridor-koridor wilayah bagi infrastruktur dan keperluan asas, serta untuk melaksanakan program latihan dan projek ekonomi sosial, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata antara projek yang akan dilaksanakan termasuk, projek perumahan awam dan pembersihan Sungai Segget di Iskandar Malaysia, projek perladangan bersepadu Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Pusat Latihan Usahawan Pertanian.
Ia juga termasuk projek-projek untuk meluaskan jalan persekutuan dari Kuala Krai-Gua Musang dan Kuala Lipis-Raub-Bentong di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Projek Kelompok Industri Minyak Sawit di Sandakan dan Pusat Ternakan Bersepadu Keningau di Koridor Pembangunan Sabah (SDC) serta projek- projek jalan raya di empangan Murum dan Baram di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Menurut Najib, kerajaan melancarkan lima koridor pembangunan itu untuk mengurangkan jurang pertumbuhan ekonomi di antara wilayah, meningkatkan pendapatan rakyat dan memastikan pengagihan kekayaan yang sama rata.
Beliau berkata, usaha tersebut juga akan menjana peluang perniagaan dan pekerjaan, manakala kualiti hidup rakyat akan turut meningkat.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan koridor wilayah akan dibangunkan mengikut jadual.
Sehingga kini, beliau berkata, 126 daripada 195 projek yang dirancangkan sedang dipelbagai tahap perlaksanaan.
“Pelaburan terancang sejumlah RM221 bilion telah melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-9 iaitu RM145 bilion,” tambah beliau.