KTCC Terima RM1 Bilion Pelaburan Bermula Suku Kedua 2013 Di Bawah Seliaan ECERDC

3/15/2013 — Bernama

KUALA TERENGGANU, 14 Mac (Bernama) — Bandaraya Kuala Terengganu dijangka menyaksikan perubahan persekitaran dan suasana secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 10 tahun akan datang, yang bermula dengan pelaksanaan pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTCC).
Fasa pertama projek itu, salah satu projek strategik di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dijangka dimulakan pada suku kedua tahun ini.
Projek berimpak tinggi itu, yang terletak di Muara Selatan di kawasan persisiran pantai Kuala Terengganu, akan dilaksanakan oleh syarikat swasta KTCC Mall Sdn Bhd melalui pelaburan RM1 bilion.
KTCC Mall Sdn Bhd, yang berpengalaman membangunkan beberapa kompleks membeli-belah negara, diberi kelulusan dan tanggung jawab oleh kerajaan negeri untuk merangka, merancang dan memajukan keseluruhan pembangunan hartanah di Parcel S1 secara persendirian.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Pembangunan ECER Datuk Jebasingam Issace John berkata pembinaan KTCC melibatkan pembinaan satu pusat membelibelah KTCC Mall bersama-sama pembinaan hotel dan suit perniagaan yang dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan apabila siap sekitar tiga tahun dari sekarang.
“Projek KTCC ini untuk pelabur dalam negara dan juga luar negara. Pada masa ini, ada beberapa pelabur luar negara termasuk dari Timur Tengah yang berminat.
Namun, ia masih dalam perbincangan.””Projek pembinaan KTCC Mall dijangka siap pada suku ke-empat tahun depan manakala pembinaan hotel dan suit perniagaan pula dijangka siap pada 2016 serta diharap mampu menjana lebih banyak pendapatan termasuk dari pelancong,” katanya pada sidang media pada Majlis Pecah Tanah KTCC Mall yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan KTCC Mall Sdn Bhd Tan Sri Tang Yeam Soon serta Datuk Bandar Datuk Adzlan Mohd Dagang. Pembangunan KTCC bakal mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan ECER di mana KTCC Mall akan menyediakan keluasan ruang peruncitan lebih 750,000 kaki persegi, hotel 250 bilik dan dua menara yang menempatkan 520 suit perniagaan secara keseluruhannya.
Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi KTCC dianggarkan lebih RM5 bilion. Semasa berucap pada majlis tersebut, Jebasingam berkata, bagi mengekalkan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai dan budayanya, pembangunan KTCC akan menggabungkan warisan seni bina tradisi Terengganu dengan aspek-aspek moden di dalam pembinaan premis kediaman dan komersil di kawasan itu, dengan turut mengekalkan identitinya tersendiri.
“Projek pembangunan KTCC akan menjadi nadi kepada transformasi Kuala Terengganu selaras dengan matlamat Program Transformasi Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang saksama di samping meningkatkan taraf kehidupan bagi seluruh rakyat,” katanya.
Komponen projek KTCC yang mencerminkan warisan dan tarikan muara Sungai Terengganu ini meliputi pembinaan sebuah pusat gaya  hidup bersepadu, sebuah pusat komersil serta satu hab pendidikan dan kesihatan.