3/15/2013 — Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU 14 Mac – Bandar raya ini melakar satu lagi sejarah selepas sebuah projek komersial berimpak tinggi, KTCC Mall membabitkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM1 bilion akan dibina di kawasan pesisir pantai berhampiran Kampung Tanjong di sini, tidak lama lagi.
Projek kendalian KTCC Mall Sdn. Bhd., itu merupakan sebahagian projek pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTCC) yang diterajui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Pembangunan KTCC akan mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai gerbang pelancongan ke ECER dengan nilai pembangunan kasar bagi KTCC dianggarkan melebihi RM5 bilion.
Pembinaan projek KTCC Mall, pusat beli-belah terbesar dan paling sofistikated di Pantai Timur itu akan melalui dua fasa dengan fasa pertama bermula pada suku kedua tahun ini dan dijadual siap pada suku keempat 2014.