KUALA TERENGGANU 14 Jun – Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi
mengumumkan pakej khusus insentif
kepada pelabur di Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECER) bagi menjana
aktiviti ekonomi dan pelaburan di
kawasan itu.
Menurut Perdana Menteri, pakej yang berkuat kuasa serta-merta itu merupakan
insentif menyeluruh merangkumi kelompok industri utama ECER iaitu sektor
pelancongan, pembuatan, petrokimia, pertanian dan pendidikan.
Beliau berkata, melalui insentif syarikat-syarikat dalam sektor pelancongan, mereka
diberi pengecualian cukai selama 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas
tapak pembangunan.
‘‘Syarikat yang melabur dalam projek petrokimia pula diberi pengecualian cukai
pendapatan selama 10 tahun dari tahun ia memperolehi keuntungan,” katanya ketika
merasmikan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dan melancarkan Pusat
Kecemerlangan ECER (COE) di sini hari ini.
Bagi projek pembuatan, kata Perdana Menteri, syarikat-syarikat yang melabur dalam
sektor ini akan mendapat pengecualian cukai pendapatan selama lima tahun mulai
tahun ia memperoleh keuntungan.
Menurutnya, bagi sektor pertanian pula, mereka akan diberikan pengecualian cukai
pendapatan selama 10 tahun bermula dari tarikh syarikat tersebut memperoleh
keuntungan atau elaun cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal
yang layak selama lima tahun.
Di samping itu beliau berkata, pengecualian duti import dan cukai jalan bagi bahan
mentah, komponen, jentera, barangan ganti, barang guna habis dan peralatan turut
disediakan.
‘‘Butiran terperinci mengenai pakej insentif ini akan diumumkan oleh Majlis
Pembangunan ECER. Kesemua usaha dan inisiatif yang dilaksanakan ini adalah
Abdullah Ahmad Badawi diiringi Jebasingam
Issace John memasukkan plat perasmian pada
perasmian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECERDC) di Dewan Sultan Mizan,
Universiti Malaysia Terengganu, semalam. bagi menyediakan panduan, sokongan dan persekitaran yang kondusif bagi para
pelabur serta rakyat setempat,” ujarnya.
Abdullah optimis ECER bakal menjadi satu wilayah ekonomi yang benar-benar
berdaya saing dan berdaya maju tidak lama lagi dan menggalakkan semua pihak
supaya memanfaatkan peluang yang ada untuk membangunkan ECER.
Mengenai ECERDC kata Abdullah, ia akan meneraju pelaksanaan pelan induk
ECER dan memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, polisi dan
strategi yang berkaitan dengan pembangunan wilayah tersebut selain mempromosi
dan menjana pembangunan ekonomi dan sosial serta pelaburan sektor swasta di
wilayah itu.
Menurutnya, majlis itu juga menjadi peneraju utama bagi menggalakkan promosi
aktiviti ekonomi swasta di kawasan ECER serta memantau dan menilai
keberkesanan aktiviti dan program pembangunan supaya pembangunan yang
dilaksanakan menyeluruh dan seimbang.
Katanya, beliau sendiri akan mempengerusikan ECERDC manakala ahli majlis yang
lain ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar
Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob;
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Besar Kelantan, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau menambah, bagi memastikan kejayaan ECER, beliau telah melantik ahli-ahli
majlis peringkat tertinggi untuk menganggotai ECERDC antaranya Menteri
Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz, sebagai wakil kerajaan Persekutuan.
‘‘Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan turut dilantik bagi mewakili
perkhidmatan awam manakala wakil pihak swasta ialah Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Merican serta Pengerusi
Eksekutif IOI Corp. Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng,” ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat pengurusan dan operasi, majlis ini diterajui Datuk
Jebasingam Issace John yang akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif.
Mengenai pembangunan ECER, setakat ini, Perdana Menteri berpuas hati dan
berbangga dengan tindakan sekretariat ECER yang telah berusaha membangunkan
beberapa projek serta program bagi wilayah tersebut.