RUANG LAHIRKAN USAHAWAN

Utusan Malaysia, 26 Oktober 2007, oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)
Jika masyarakat Melayu di Pantai Timur yang sebelum ini mendakwa tidak mendapat
pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Pusat, kini sedikit sebanyak mereka boleh
menarik nafas lega.
Angin perubahan yang membawa program lonjakan mega ekonomi sedang bertiup
kencang ke kawasan sebelah sana. Banyak ‘ikan besar’ dan ‘ikan kecil’ sedang menuju
ke wilayah mereka. Terpulang sama ada penduduk Pantai Timur mahu atau tidak
memasang jaring dan pukat untuk menangkap hasil rezeki yang sedang disalurkan ke
sana.
Ketika ini banyak pihak memperkatakan tentang pelbagai koridor ekonomi baik yang
sedang dilaksanakan mahupun yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Misalnya Koridor
Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Recoda di Sarawak.
Pun begitu, jangan dilupakan bahawa inisiatif pembangunan ekonomi ini adalah
sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Program ini telah
dirangka untuk mengagih-agihkan kekayaan negara hingga melangkaui pegangan
ekuiti termasuk aspek-aspek pemilikan kekayaan lain, khasnya pemilikan aset produk
bumiputera.
Perkara utama dalam RMK-9 ialah membangunkan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB) secara aktif dalam ekonomi wilayah pembangunan
baru itu.
Kerajaan telah memperuntukkan RM1.372 bilion untuk membangunkan MPPB di bawah
RMK-9.
Sejajar dengan matlamat ini, maka dasar-dasar dan program untuk meningkatkan
pemilikan bangunan komersial dan penginapan dalam sektor hartanah di bandar, hak
milik intelektual dijalankan, begitu juga perhatian berat kerajaan terhadap syarikat
perniagaan baik kecil atau sederhana.
Melalui aktiviti yang akan datang ke ECER, diyakini ia dapat menjana pendapatan dan
mewujudkan peluang pekerjaan bagi merapatkan jurang ekonomi. Jangan lupa,
matlamat RMK-9 juga adalah untuk membasmi kemiskinan tegar dan menyasarkan
kemiskinan hanya 2.8 peratus menjelang 2010. Kerajaan telah memperuntukkan
RM4.465 bilion untuk membasmi kemiskinan di seluruh negara.
Di samping itu, langkah-langkah ini diteruskan untuk menyusun semula masyarakat
bagi menghapuskan identiti kaum berdasarkan sektor ekonomi.
Untuk memastikan kewujudan golongan bumiputera kukuh dan bertahan dalam bidang
sektor perdagangan dan perindustrian, pendekatan baru perlu diterapkan. Lalu ECER
adalah idea dan pendekatan ke arah matlamat tersebut yang selalu kita lupakan.
Apa yang perlu ditekankan ialah bukan sahaja bilangan usahawan bumiputera yang
akan dihasilkan di ECER tetapi lebih penting ialah kualiti mereka dari segi daya saing
dan produktiviti.
Satu program khas akan dilaksanakan untuk mengubah syarikat kecil dan sederhana
bumiputera yang terpilih dengan perolehan pendapatan jualan tahunan di antara RM1
juta dan RM25 juta dibantu menjadi syarikat besar.
Ini boleh dilakukan melalui bantuan agensi pelaksana untuk membantu ahli perniagaan
bumiputera. Permodalan Nasional Bhd. misalnya akan menggalakkan lebih ramai
bumiputera menyertai skim amanah saham secara aktif. Manakala Yayasan Amanah
Hartanah Bumiputera, dengan modal permulaan RM2 bilion, boleh mengembangkan
usaha membantu bumiputera memiliki hartanah di lokasi yang strategik, terutama di
kawasan bandar.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula menyediakan kemudahan
latihan dan program pembangunan usahawan kepada peniaga bumiputera.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga menyediakan pakej
pembangunan usahawan bersepadu bagi membantu bumiputera di sektor peruncitan
kecil dan sederhana.
Laporan RMK-9 yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri mengatakan kerajaan telah menetapkan sasaran meningkatkan pemilikan
modal bumiputera di antara 20 hingga 25 peratus menjelang 2010. Untuk tujuan itu,
sekurang-kurangnya pemilikan bumiputera mesti mencapai sekurang-kurangnya 30
peratus menjelang 2020.
Ingatlah bahawa pemilikan modal bumiputera meningkat kepada RM100 bilion pada
2004 berbanding dengan RM63 bilion tahun 2000. Namun nisbah pegangan ekuiti
masih tidak berubah pada 18.9 peratus.
Dalam RMK-9, kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan nisbah perbezaan
pendapatan bumiputera dengan kaum Cina kepada 1:1.50 pada tahun 2010 daripada
1:1.64 pada 2004, dan di antara bumiputera dengan kaum India kepada 1:1.15
daripada 1:1.27.
Langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan ECER pada 29 Oktober
(Isnin) ini adalah sebahagian daripada fokus utama di bawah Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9) yang bertujuan membela nasib orang Melayu.
Keputusan kerajaan membangunkan wilayah pembangunan ini selepas melancarkan
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER),
adalah satu cabaran yang perlu diberi sokongan padu oleh semua pihak terutama
penduduk tempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Mersing di Johor.
Pelancaran ECER diharap usaha melahirkan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera yang menekankan kepada usaha mewujudkan lebih ramai
usahawan bumiputera patut menjadi agenda utama memandang 80 peratus penduduk
kawasan pembangunan itu adalah orang Melayu dan bumiputera.
Di sinilah usaha untuk menambah bilangan usahawan bumiputera dapat dijayakan
dengan membuka ruang dan peluang untuk mereka merebut dan menyertai aktiviti
ekonomi dan perniagaan di ECER.
Jurang perbezaan pendapatan dan pegangan ekonomi dalam masyarakat bumiputera
dan bukan bumiputera perlu dirapatkan.
Penduduk bumiputera di Pantai Timur harus sedar bidang keusahawanan membuka
peluang untuk mereka memperoleh pendapatan dan kekayaan yang lebih berbanding
makan gaji dalam program pembangunan ECER.