Pelajar di Terengganu tingkat kesedaran dan pemahaman mengenai Industri 4.0 melalui Program Rintis ACES Web App
TERENGGANU, 26 JULAI 2021: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin akan dapat mencapai sasaran pelaburan tahun 2021 untuk negeri Terengganu menjelang penghujung tahun ini. Setakat 30 Jun 2021, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.7 bilion daripada sasaran pelaburan komited RM3.9 bilion untuk tahun 2021 ke Terengganu. Ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu bagi rakyat di Terengganu.
“Susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan untuk tahun 2021 setakat ini, ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan projek-projek dan inisiatif-inisiatif yang sedang berjalan seperti kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang untuk mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” kata En. Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada mesyuarat tersebut, YAB Menteri Besar menggesa semua pihak untuk terus berusaha menarik pelaburan baharu ke Terengganu, terutamanya dalam pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Taman Biopolimer Kerteh. Beliau juga berkata Kerajaan Negeri komited untuk menyokong inisiatif agrofood@ECER yang sedang dirancang oleh ECERDC, terutamanya projek Lembah Tenusu Terengganu, serta projek-proiek Penanaman Kelapa, Makanan Ternakan dan Fertigasi, agar sektor pertanian dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang berterusan..
MENARIK PELABURAN KE SEKTOR-SEKTOR PERTUMBUHAN STRATEGIK
ECERDC terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Wilayah ini terutamanya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP). Walaupun tidak dapat menerajui misi pelaburan ke luar negara atau mengadakan acara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa. Ini merangkumi webinar Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries bersama Japan External Trade Organization (JETRO), webinar Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN dengan kerjasama wakil-wakil dagang dari Persekutuan Rusia, dan webinar Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER.
Lebih daripada 900 pelabur berpotensi telah mengambil bahagian dalam webinar-webinar pelaburan ini. Di samping itu, terdapat beberapa program webinar sedang dalam perancangan untuk tahun 2021 bagi menarik pelabur ke sektor-sektor ekonomi utama lain di Terengganu, seperti pertanian, pelancongan dan tenaga bio (bio-energy).
Kerja-kerja perluasan bagi Fasa 3 dan 4 sedang berjalan di Taman Biopolimer Kerteh, sebuah taman perindustrian bersepadu yang akan mengetengahkan negeri ini sebagai pemain utama dalam industri bio, sementara Fasa 1 dan 2 sudah hampir penuh diduduki. Kelebihan taman industri ini terletak pada akses mudah kepada bahan mentah untuk sektor ini. Taman ini telah menarik pelaburan komited sebanyak RM5.4 bilion sejak ia dilancarkan dan telah mewujudkan lebih daripada 6,000 peluang pekerjaan.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Pembangunan modal insan merupakan kunci untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat di ECER. ECERDC akan terus melaksanakan program-program pembangunan modal insan bagi memastikan semua segmen masyarakat mempunyai akses kepada peluang-peluang yang diwujudkan di ECER.
Untuk membantu rakyat ECER yang terkesan akibat pandemik, ECERDC telah melaksanakan pelbagai Program Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran. Program-program ini telah membantu para graduan memperoleh kemahiran baharu yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan. Di Terengganu, seramai 1,135 peserta telah dilatih dan daripada jumlah tersebut, 943 orang telah ditawarkan pekerjaan di mana mereka menikmati pendapatan antara RM1,400-RM4,000 sebulan.
Salah seorang penerima manfaat program latihan semula dan peningkatan kemahiran PENJANA-ECERDC ialah Mohamad Syauqi Mohamad Fadeli. Beliau pernah menjadi pekerja kontrak dalam sektor OGP dan telah kehilangan pekerjaan sebanyak dua kali sewaktu pandemik. Namun, setelah mengikuti program tersebut dan memperoleh pensijilan Akses Tali (Rope Access), beliau telah diambil bekerja semula oleh syarikat yang sama yang memberhentikan beliau sebelum ini.
Sementara itu, para peserta program empower ECER-Akademik di Terengganu turut mencatatkan kadar lulus yang membanggakan iaitu 98%, lebih tinggi daripada purata kebangsaan sebanyak 89% dalam SPM 2020 baru-baru ini. Satu lagi pencapaian yang membanggakan adalah peningkatan dalam bilangan pelajar yang mencapai minimum 5A dalam SPM kepada 9% daripada 1% sebelumnya, walaupun terdapat cabaran yang disebabkan oleh pandemik dan pembelajaran di rumah.
Antara 1,197 peserta program empower ECER-Akademik ialah Sam Li Chin dari SMK Putra, Besut yang memperoleh 9A dalam SPM 2020. Li Chin yang mencatatkan 4B, 4C, 1E, 2G sebelum mengikuti program ini, pada mulanya mendapati pembelajaran dalam talian sukar untuk diikuti akibat kekangan peranti digital dan isyarat rangkaian yang lemah. Namun, menerusi program empower ECER-Akademik, Sam mendapati pelajaran menjadi amat menarik lalu mendorongnya untuk bekerja keras dan memperoleh keputusan yang cemerlang.
Selain daripada program latihan akademik, ECERDC juga memudahcara usaha untuk memastikan penempatan pelajar-pelajar empower ECER di institusi-institusi pengajian tinggi atau pembangunan kemahiran. Di samping itu, ECERDC, melalui empower ECER dan entrepreneur ECER terus menyokong para usahawan mikro dan PKS untuk bertahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan untuk membantu mereka beralih ke platform e-dagang bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Pada masa yang sama, antara Januari dan Mei 2021, sejumlah 156 usahawan sedia ada di Terengganu telah menerima pinjaman daripada Maybank dan Agrobank berjumlah RM4.2 juta di bawah program entrepreneur ECER untuk memperkukuhkan perniagaan mereka, sementara 94 yang lain sedang menjalani pembangunan kualiti produk bersama SIRIM sebagai persediaan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
LAWATAN “ZOOM” MENGEJUT OLEH YAB MENTERI BESAR TERENGGANU KEPADA PESERTA PROGRAM RINTIS ACES WEB APP
Bagi mensiap siaga rakyat di Terengganu untuk pekerjaan masa akan datang, Program Rintis ACES Web App yang melibatkan lebih daripada 3,100 pelajar di seluruh ECER telah bermula baru-baru ini untuk mewujudkan kesedaran tentang Industri 4.0 (I4.0) di kalangan pelajar dan menyediakan bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi kehendak masa hadapan.
Program Rintis ACES Web App sedang dilaksanakan melalui satu siri webinar yang menyasarkan lepasan SPM di bawah program empower ECER di negeri-negeri ECER dan kini sedang berjalan sehingga 31 Julai 2021.
Peserta-peserta dari Terengganu telah mendapat kejutan apabila YAB Menteri Besar menyertai sesi Zoom mereka selepas mempengerusikan Mesyuarat ICC Terengganu, di mana beliau juga menerima taklimat mengenai program rintis tersebut. YAB Menteri Besar berasa gembira kerana dapatan awal menunjukkan bahawa program perintis tersebut berkesan dalam menerapkan pengetahuan tentang I4.0 di kalangan para peserta.
Beliau telah memberikan kata-kata semangat kepada para peserta dan menekankan tentang pentingnya menyesuaikan diri dengan sistem dan teknologi baharu kerana ia akan memberi impak yang besar kepada pekerjaan di masa hadapan. Beliau juga memuji para peserta atas penyertaan mereka dan menyeru agar mereka terus melengkapkan diri dengan teknologi dan pengetahuan tentang I4.0 agar dapat menyumbang kepada pembangunan negeri di masa depan.
Kira-kira 740 peserta dan 12 jurulatih di enam lokasi di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut terlibat dalam program tersebut, yang akan berlangsung selama tiga minggu.
PROJEK-PROJEK INFRASTRUKTUR BERJALAN SEPERTI DIRANCANG
Walaupun pandemik telah memberi kesan terhadap kemajuan ekonomi jangka pendek negeri, pelaburan dalam projek-projek infrastruktur strategik adalah kunci untuk membolehkan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan jangka panjang.
Antara projek-projek tersebut ialah pembinaan tanjung tinggi (headland) di pesisiran Teluk Lipat, Dungun. Pembinaan Tanjung Tinggi 5, termasuk tembok batu (revetment) serta pemulihan pantai (beach nourishment) sedang berjalan mengikut jadual untuk penyiapan sebelum musim tengkujuh tahun ini. Ini memastikan jalan pesisir akan dilindungi daripada kerosakan akibat hakisan ombak pada musim tengkujuh.
Projek-projek infrastruktur lain yang berjalan seperti dirancang adalah penaiktarafan Sistem Tenaga Solar Hibrid di Pulau Kapas, sebuah destinasi pelancongan pulau. Projek Sistem Tenaga Hibrid ini dijangka siap pada bulan September dan akan menyediakan tenaga alternatif yang bersih dan lestari untuk memenuhi keperluan pulau berkenaan.
agrofood@ECER
ECERDC akan terus memacu inisiatif agrofood@ECER untuk menangani masalah jaminan bekalan makanan negara. Antara inisiatif tersebut ialah Lembah Tenusu ECER yang bertujuan meningkatkan Tahap Mampu Diri (Self-sufficiency Level – SSL) susu segar di negara ini sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu import. Matlamatnya adalah untuk membangunkan rantaian nilai yang kukuh merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, termasuk pembangunan pusat-pusat pemprosesan susu. Dengan cara ini, ECERDC menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan juga peluang keusahawanan dalam industri tenusu sebagai Peladang Satelit, pengedar dari rumah, dan pembekal makanan haiwan.
Satu lagi perniagaan tani yang berpotensi tinggi adalah pembiakan ternakan. Kajian kebolehlaksanaan ECERDC menunjukkan bahawa baka lembu ternakan tertentu seperti Charolais, Limousin dan Belgian Blue dapat memberikan nilai 7.5 kali ganda berbanding lembu tempatan.
KESIMPULAN
“Kerjasama erat ECERDC dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah menghasilkan kemasukan pelaburan komited ke negeri Terengganu pada tahun ini. Kami optimis akan mencapai sasaran pelaburan komited untuk tahun 2021 dan kami kekal fokus terhadap matlamat dan usaha jangka panjang bagi merealisasikan pelaburan komited seperti yang digariskan dalam EMP2.0. Program Rintis ACES Web App yang sedang berjalan telah mendapat sambutan yang baik di kalangan para peserta dan ia sememangnya bermanfaat untuk diperluaskan kepada pelajar-pelajar di tempat lain,” tambah En. Baidzawi.
– TAMAT –
Mengenai ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan dan pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudah cara pelaburan ke Wilayah ini.
ECER, yang merangkumi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, merupakan sebuah wilayah yang sedang menjalani transformasi yang pesat dan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi yang distingtif, dinamik dan kompetitif untuk pelaburan.
Dari segi geografi, ia meliputi kawasan seluas lebih dari 66,000 km persegi atau 51% dari Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai penduduk kira-kira 4.8 juta orang, atau sekitar 15% dari jumlah keseluruhan penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kluster ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan yang berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 010-408 1085
e-mel: mazlinda@ecerdc.com.my