ECERDC MENARIK PELABURAN DIREALISASI BERJUMLAH RM10.3 BILION

Dua MoU dan pencapaian penting projek memperkukuh usaha merancakkan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur

PUTRAJAYA, 28 OKTOBER 2026: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merekodkan pelaburan direalisasi berjumlah RM10.3 bilion di Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2026, sekali gus menjana kira-kira 8,000 peluang pekerjaan, iaitu dua kali ganda daripada sasaran gabungan sebanyak 4,000 pekerjaan.

Pelaburan direalisasi mencapai 104% daripada sasaran tahunan sebanyak RM10 bilion. Prestasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang berterusan merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, tenaga boleh baharu, logistik, pelancongan, pertanian dan pengeluaran makanan.

ECERDC turut merekodkan pelaburan komited berjumlah RM13.2 bilion di seluruh wilayah, melebihi sasaran sebanyak RM10 bilion. Komitmen ini mencerminkan potensi pelaburan yang sedang dalam perancangan untuk direalisasikan pada masa hadapan.

“Di sebalik angka pelaburan, jumlah pekerjaan yang diwujudkan mencerminkan peluang ekonomi yang sedang berkembang di seluruh wilayah. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur, kerajaan dan pemain industri bagi memudah cara pelaburan serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat membuka peluang yang bermakna kepada rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” kata Syamsul Farizz Nadzeri, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Aktiviti pelaburan di seluruh wilayah

Terengganu merekodkan pelaburan direalisasi berjumlah RM4.8 bilion, didorong oleh pelaburan RM2.0 bilion dengan peluasan Pelabuhan Kemaman oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad serta pembangunan ladang solar terapung bernilai RM1.90 bilion oleh TNB Power Generation Sdn Bhd. Sektor pembuatan menyumbang sebanyak RM600 juta lagi, disokong oleh pelaburan dalam pengeluaran keluli bersalut dan bersadur serta komponen automotif, antara lain.

Pahang merekodkan pelaburan direalisasi berjumlah RM1.7 bilion. Antara projek utama ialah pusat pelancongan bersepadu bernilai RM568 juta oleh King’s Park Development Sdn Bhd, kemudahan pembuatan sucralose bernilai RM400 juta oleh Jinhe Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd, serta ladang durian bernilai RM274 juta oleh Upayapadu Resources Sdn Bhd.

Di Kelantan, pelaburan direalisasi mencapai RM600 juta, sekali gus memenuhi sasaran negeri. Antara projek utama ialah projek solar berskala besar berkapasiti 99.9 MWac bernilai RM294.5 juta oleh Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd, projek perladangan bernilai RM88.5 juta oleh DXN Biogreen Sdn Bhd, serta kemudahan penanaman, pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengkomersialan buah-buahan serta sayur-sayuran bernilai RM48 juta oleh Song Lin Fresh Fruit Hub Sdn Bhd.

Sementara itu, di Segamat, Johor, pelaburan direalisasi berjumlah RM3.3 bilion, didorong oleh pembangunan loji solar hibrid bernilai RM3.3 bilion oleh Lestra Hexa JV Sdn Bhd. Selain itu, Infinity Landbridge Express Sdn Bhd (Infinity) sedang melaksanakan pelaburan bernilai RM30 juta bagi mengaktifkan semula Pelabuhan Darat Segamat (SIP) sebagai hab logistik berasaskan rel di selatan Semenanjung Malaysia. Kemudahan ini dijangka mampu mengendalikan sehingga 6,000 unit bersamaan kontena dua puluh kaki (TEU) sebulan, sekali gus menyokong pergerakan kargo yang lebih cekap dan mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya.

Memperkukuh kerjasama dan pelaksanaan projek

ECERDC turut memperkukuh kerjasama bagi menyokong pelaburan dan pembangunan industri melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dan Infinity.

MoU bersama TGAS menyediakan rangka kerja kerjasama untuk mempromosikan dan memudah cara pelaburan di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas di Pahang, sekali gus menyokong usaha menarik pelabur dan menggalakkan pembangunan industri selanjutnya.

MoU bersama Infinity pula memberi tumpuan kepada penerokaan peluang pelaburan dan berkaitan pengangkutan di Pelabuhan Darat Segamat. ECERDC akan menyokong usaha ini melalui pemudahcaraan pelaburan, penyelarasan antara agensi serta penglibatan pemain industri.

Pencapaian penting dalam pelaksanaan projek pembangunan turut diteruskan di seluruh wilayah. Di Kelantan, Projek Jambatan Palekbang–Kota Bharu dan Taman Perindustrian Tok Bali masing-masing mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 47% dan 54%, dengan kedua-dua projek berjalan mengikut jadual.

Di Pahang, Persimpangan Pelabuhan Kuantan telah diserahkan pada 3 September 2026. Kerja-kerja infrastruktur utama bagi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) 3, Fasa 1, Pakej 1, juga telah siap, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan taman perindustrian tersebut. Projek ini berpotensi menarik pelaburan sehingga RM1.2 bilion.

Sementara itu, Promenade Fasa 1 Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Jun 2026, menandakan kesediaannya untuk digunakan oleh orang awam.

“Melangkah ke hadapan, tumpuan kami adalah untuk menterjemahkan komitmen pelaburan kepada pelaburan yang direalisasikan, di samping memajukan projek yang dapat memperkukuh daya saing jangka panjang wilayah ini. Melalui kerjasama yang lebih erat dengan pelabur dan rakan pembangunan, kami berhasrat untuk mempercepat pelaksanaan projek serta memperluas peluang ekonomi yang mampan di seluruh Pantai Timur,” kata Syamsul Farizz Nadzeri.