Memperkukuh Industri Maritim Pesisir ECER
Industri maritim di Wilayah Ekonomi Pantai Timur menawarkan peluang yang signifikan kepada pelabur untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya dalam pembinaan dan pembaikan kapal, pembuatan berkaitan marin serta pembinaan bot warisan. Berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), ECERDC memudah cara kerjasama antara pelabur serta agensi Persekutuan dan Negeri bagi memperluas keupayaan maritim negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai pembinaan dan pembaikan kapal di peringkat serantau.
Dengan lebih 80 peratus perdagangan global bergantung kepada pengangkutan laut serta peningkatan permintaan terhadap perkapalan mampan dan perkhidmatan sokongan luar pesisir, lokasi pesisir strategik ECER seperti Tok Bali, Kemaman dan Kuantan menawarkan potensi kukuh untuk penyertaan sektor swasta. Disokong oleh Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), hab ini menyediakan keterhubungan yang lancar antara kluster perindustrian, pelabuhan dan pangkalan bekalan.
ECERDC berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada import, memperkukuh keterhubungan perdagangan serantau serta membina rantaian nilai perkhidmatan marin yang berdaya saing di peringkat global. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong kepelbagaian industri, malah membuka peluang kepada pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi serta aktiviti maritim yang berkait dengan pelancongan.
ECERDC mengalu-alukan pelabur untuk memacu pembangunan industri maritim rantau ini melalui pembinaan kapal berteraskan teknologi, pembuatan komponen, logistik dan perkhidmatan sokongan yang meningkatkan keupayaan tempatan sambil memelihara warisan maritim Malaysia.
Sektor utama dalam teras Industri Maritim ECER adalah:

PEMBINAAN DAN PEMBAIKAN KAPAL
ECER menawarkan peluang utama kepada pelabur dalam industri maritim Malaysia yang semakin berkembang melalui kemudahan di Kuantan dan Kemaman, sekali gus memperkukuh kapasiti serantau bagi pembinaan, pembaikan kapal serta pembuatan komponen.

PEMBUATAN BERKAITAN MARITIM
Lokasi strategik di Tok Bali dan Kemaman menyediakan akses yang ideal kepada pelabur dalam pembuatan berkaitan marin, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta menyokong industri maritim dan luar pesisir negara.

PEMBINAAN DAN PEMBAIKAN BOT WARISAN
Warisan pertukangan bot tradisional Terengganu menawarkan potensi pelaburan yang unik dengan menggabungkan pemeliharaan budaya bersama peluang dalam sektor pelancongan dan industri kreatif.
